Aizat Sharif


Kangar: Buruh mengaku tidak bersalah di Mahkamah Majistret, di sini, hari ini, terhadap pertuduhan mencuri seekor burung kakak tua di sebuah rumah di Beseri, Padang Besar pada Jumaat lalu.

Tertuduh, Mohd Amizad Marodzi, 44, dari Kuala Perlis meminta dibicarakan selepas pertuduhan dibacakan di hadapan Majistret Kamaliza Md Zain.

Berdasarkan pertuduhan, dia didakwa mencuri seekor burung jenis African Grey Parrot daripada milikan Mohd Faiz Jafar di sebuah rumah di Jalan Angsana 5, Taman Bunga Angsana, Beseri, Padang Besar pada jam 4 pagi, 12 November lalu.

TERTUDUH dibawa ke lokap Mahkamah Majistret Kangar diiringi anggota polis. FOTO Aizat Sharif
TERTUDUH dibawa ke lokap Mahkamah Majistret Kangar diiringi anggota polis. FOTO Aizat Sharif

Justeru tertuduh didapati melakukan kesalahan mengikut Seksyen 379 Kanun Keseksaan yang memperuntukkan hukuman penjara sehingga tujuh tahun atau denda atau kedua-duanya manakala bagi kesalahan kali kedua atau berulang boleh dipenjara dan denda atau sebat.

Pendakwaan dilaksanakan oleh Timbalan Pendakwa Raya, Nurul Atikah Ab Rashid manakala tertuduh diwakili peguam Nur Iman Nor Azmi dari Yayasan Bantuan Guaman Kebangsaan (YBGK).

Atikah memohon mahkamah supaya memberikan jaminan sebanyak RM5,000 kepada tertuduh.

Namun begitu, Nur Iman dalam rayuan balasnya memohon mahkamah mempertimbangkan jaminan sebanyak RM3,500 memandangkan anak guamnya mempunyai tanggungan empat anak berusia antara empat hingga 13 tahun dan isterinya pula hanya bertugas sebagai kerani.

Mahkamah membenarkan permohonan peguam Nur Iman dan tertuduh membayar wang jaminan berkenaan diwakili adiknya.

Mahkamah kemudian menetapkan 15 Disember sebagai tarikh sebutan semula kes.

Dalam kejadian pada Jumaat lalu, burung kakak tua yang dipelihara seorang lelaki berusia 34 tahun dilarikan dari kediamannya di Beseri sekitar jam 4 pagi.

Polis yang menerima laporan berjaya mengesan suspek dan burung berkenaan di sebuah rumah di Kampung Tok Kayaman pada jam 11.30 pagi.

Hasil pemeriksaan terhadap nombor penandaan pada kaki burung terbabit mendapati ia sama dengan nombor penandaan tertulis di lesen milik mangsa yang dikeluarkan oleh Jabatan Perlindungan Hidupan Liar dan Taman Negara Semenanjung Malaysia (Perhilitan).

Artikel ini disiarkan pada : Selasa, 16 November 2021 @ 11:41 AM