Ahmad Rabiul Zulkifli

Kuala Nerus: Kerugian besar yang dialami penternak ikan sangkar pada musim tengkujuh awal tahun lalu mendorong seorang peniaga menyediakan tempat pengumpulan ikan di Kampung Mengabang Kapal, Batu Rakit, di sini.

Mohd Dzul Faizal Mazlan, 38, berkata, dia mengambil inisiatif itu untuk membantu penternak ikan sangkar di negeri ini menempatkan ikan mereka ketika musim tengkujuh.

"Biasanya musim tengkujuh menyebabkan penternak ikan sangkar yang tidak sempat menjual ikan mereka akan mengalami kerugian kerana banjir.

"Ikan tidak terjual menyebabkan pelbagai ikan air tawar seperti ikan patin, tilapia, baung dan keli yang diternak di sungai terancam kerana masih berada di sangkar pada musim tengkujuh.

"Oleh itu apabila saya bersama kerjasama Lembaga Kemajuan Ikan Malaysia (LKIM) menyediakan tempat pengumpulan ikan itu, ia membantu penternak untuk menjualnya di sini," katanya ketika ditemui di Pusat Pengumpulan dan Pengedaran Ikan, di sini, hari ini.

MOHD Dzul Faizal Mazlan melihat ikan keli yang dipindahkan ke Pusat Pengumpulan dan Pengedaran Ikan di Kampung Mengabang Kapal, Batu Rakit. FOTO Ahmad Rabiul Zulkifli.
MOHD Dzul Faizal Mazlan melihat ikan keli yang dipindahkan ke Pusat Pengumpulan dan Pengedaran Ikan di Kampung Mengabang Kapal, Batu Rakit. FOTO Ahmad Rabiul Zulkifli.

Tambahnya, ramai penternak ikan sangkar yang menjual kepadanya menjelang musim tengkujuh sejak membina pusat pengumpulan ikan itu.

"Saya sendiri akan ke sangkar-sangkar ikan sejak Oktober untuk membeli ikan yang diternak sebelum musim tengkujuh.

"Semua ikan dibeli dan dipindahkan segera ke pusat pengumpulan ikan itu bagi mengelakkan kejadian di luar jangka termasuk banjir dan air pasang besar.

"Sehingga kini sebanyak tiga hingga empat tan ikan mampu dipindahkan ke pusat pengumpulan ikan itu dalam satu masa," katanya.

Menurutnya, LKIM memberi peruntukan yang besar untuk membina pusat pengumpulan ikan itu bagi membantu penternak ikan sangkar daripada terjejas akibat banjir.

"Malah pusat pengumpulan ikan itu juga berperanan sebagai tempat jualan ikan secara borong sekali gus penternak ikan tidak lagi mengalami masalah untuk menjual ikan yang diternak mereka," katanya.

Artikel ini disiarkan pada : Khamis, 8 Disember 2022 @ 1:16 PM