SALAH seorang daripada pekerja yang sedang mengaut ikan yang mati di dalam sangkar di Kampung Batu Lada, Mengkebang. FOTO Hazira Ahmad Zaidi
SALAH seorang daripada pekerja yang sedang mengaut ikan yang mati di dalam sangkar di Kampung Batu Lada, Mengkebang. FOTO Hazira Ahmad Zaidi
Hazira Ahmad Zaidi


Kuala Krai: Bagi mengelakkan kerugian besar, penternak ikan sangkar memindahkan 100,000 benih ikan keli ke kolam khas yang dibina di pekarangan rumahnya di Kampung Batu Lada, Mengkebang, di sini.

Rohaimin Yusoff, 51, berkata dia berbuat demikian susulan trend air Sungai Kelantan di Kuala Krai sentiasa berubah ketika musim tengkujuh ini.

Menurutnya, benih ikan keli itu akan dibawa semula ke sangkar apabila trend air sungai kembali seperti sediakala.

"Hanya benih ikan keli yang dipindahkan ke dalam kolam, manakala spesis ikan patin, talapia, baung dan keli yang sudah mencapai usia matang dan sedia untuk dijual diletakkan di dalam sangkar.

"Saya mengambil langkah awal dengan mengikat sangkar pada pokok durian dan nangka berdekatan sungai.

"Ia bagi mengelakkan lebih 20 sangkar yang menempatkan 45,000 spesis ikan patin, talapia, baung dan keli daripada dihanyutkan arus deras sungai," katanya ketika ditemui, di sini.

Rohaimin berkata, pengalaman mengalami kerugian hampir RM30,000 akibat banjir kira-kira dua tahun lalu membuatkannya lebih bersedia.

Menurutnya, dia juga mengupah pekerja bermalam di atas rumah rakit di sangkar itu untuk memantau keadaan semasa air Sungai Kelantan.

"Saya bimbang kerana sungai yang menempatkan kesemua sangkar ikan ini adalah sungai utama.

"Sekiranya cuaca tidak menentu selain berlaku hujan lebat menyebabkan air sungai naik secara mendadak sekali gus membawa sampah serta kayu sehingga menjejaskan jaring ikan," katanya.

Artikel ini disiarkan pada : Rabu, 22 November 2023 @ 1:48 PM