BAKRI bersama murid SK Kuala Klawang meraikan hari sambutan kanak - kanak. FOTO Abnor Hamizam Abd Manap.
BAKRI bersama murid SK Kuala Klawang meraikan hari sambutan kanak - kanak. FOTO Abnor Hamizam Abd Manap.
Abnor Hamizam Abd Manap


Jelebu: Penyakit ayam yang berlaku di Eropah dan beberapa negara pengimport antara dikenal pasti antara punca yang menjejaskan bekalan telur ayam di negara ini.

Pengerusi Jawatankuasa Pertanian dan Industri Makanan Negeri Sembilan Datuk Bakri Sawir berkata itu antara penjelasan diberi penternak ayam di negeri ini ketika perjumpaan yang diadakan seminggu sebelum Pilihan Raya Umum ke-15 (PRU-15) lalu.

Katanya penternak menghadapi kesukaran mendapatkan 'benih' ayam berikutan penyakit berkaitan ayam yang berlaku di beberapa buah negara pengimport.

"Selain itu faktor Perintah Kawalan Pergerakan (PKP) bukan saja di negara kita sebaliknya seluruh dunia yang mengenakan sekatan pergerakan menyebabkan berlaku gangguan pembekalan ayam telur.

"Di Negeri Sembilan, terdapat sembilan penternak yang mampu membekalkan telur kerana pengeluaran di negeri ini melebihi 200 peratus namun penternak terikat dengan kontrak perladangan di mana telur perlu di eksport ke luar negeri ini.

"Kita akan tengok dengan lebih mendalam mengenai kontrak perladangan yang dibuat penternak sama ada ia satu masalah atau tidak berkaitan bekalan telur," katanya ditemui selepas merasmikan Sambutan Hari Kanak - Kanak di Sekolah Kebangsaan ( SK ) Kuala Klawang di sini.

Bakri berkata bekalan telur ayam di negeri ini sepatutnya tidak bermasalah kerana pengeluaran sudah mencukupi malah penternak dapat mengekportnya ke luar.

Katanya setakat ini sembilan penternak di negeri ini sudah mencukupi namun jika ada permohonan daripada pihak lain untuk membuka ladang baharu, kerajaan akan meneliti permohonan itu.

Katanya banyak faktor perlu diambil kira termasuk berkaitan alam sekitar sebelum kelulusan pembukaan ladang ternakan baharu dibenarkan beroperasi.

Dalam perkembangan lain, Bakri yang juga Ahli Dewan Undangan Negeri (Adun) Klawang berkata penternak ikan air tawar di negeri ini sudah diminta membuat persiapan menghadapi banjir termasuk membaiki kelemahan yang ada di kolam ternakan.

" Apabila saya meninjau keadaan kolam ternakan, ada di antara penternak secara teknikalnya tidak mengikut kaedah yang betul membina kolam termasuk ada yang menahan laluan air sungai.

" Namun secara keseluruhan, penternak yang terkesan akibat bencana banjir pada tahun lalu sudah diberi bantuan peralatan selain membaik pulih kolam ternakan bagi membolehkan mereka meneruskan operasi," katanya.

Artikel ini disiarkan pada : Khamis, 8 Disember 2022 @ 1:03 PM