DR M Murallitharan.
DR M Murallitharan.
Redzuan Muharam

Kuala Lumpur: Dianggarkan 20,000 pesakit barah meninggal dunia setiap tahun di negara ini manakala lebih 50 peratus pesakit dikesan ketika penyakit mereka berada pada tahap empat dan lima.

Pengarah Urusan Persatuan Kanser Kebangsaan Malaysia (NCSM) Dr M Murallitharan berkata, angka itu agak membimbangkan kerana kes di peringkat global juga menunjukkan peningkatan.

Menurutnya, peningkatan kes itu disebabkan kurangnya kesedaran melakukan saringan kerana pengesanan awal barah penting bagi membolehkan pesakit diberi rawatan sebelum terlewat.

"Lebih 20,000 pesakit barah dikesan setiap tahun.

"Melalui Kementerian Kesihatan Malaysia (KKM), banyak program saringan diadakan cuma yang merisaukan adalah jika pesakit tidak dapat dikesan atau dikenal pasti ketika saat akhir.

"Secara amnya, purata umur yang menghidap barah adalah bermula 40 hingga lebih 60 tahun tetapi kita mula lihat peningkatan golongan muda yang berusia lewat 20-an dan awal 30-an," katanya pada sidang media selepas Majlis Pelancaran Fasa kelima Program Mamogram Percuma dan pengenalan Klinik Saringan Bergerak Nasional Etiqa di Menara Etiqa, Bangsar, di sini, hari ini.

Majlis disempurnakan Penaung Utama NCSM Tan Sri Rafidah Aziz, Timbalan Pengarah Pembangunan Kesihatan Keluarga KKM Dr Mastura Ismail, Pengerusi Maybank Ageas Holdings Berhad Datuk R Karunakaran dan Ketua Pegawai Pelaburan Etiqa Norlia Mat Yusof.

Murallitharan berkata, kerjasama NCSM dan Etiqa dalam Klinik Saringan Bergerak Nasional Etiqa adalah antara usaha diambil bagi memberi pendedahan dan kesedaran mengenai barah kepada masyarakat termasuk yang tinggal di kawasan pedalaman.

"Sudah lima tahun kita bekerjasama dan daripada tahun pertama, kita beri (saringan) secara percuma.

"Penambahbaikan kali ini adalah bergerak ke 11 negeri di Semenanjung untuk melakukan saringan di kawasan terpencil, sukar ditembusi dan tiada hospital berdekatan.

"Tujuan kita masuk ke kawasan terpencil adalah untuk beri pendidikan selain jalankan saringan dan dijangka 50,000 rakyat Malaysia akan menerima manfaat daripada program berkenaan.

"Mereka yang dikesan positif barah dalam komuniti kemudian dibantu untuk menjalani ujian 'ultrasound' di klinik kesihatan," katanya.

Sementara itu, Norlia berkata, kerjasama Etiqa dan NCSM bertujuan membantu masyarakat terutama wanita tidak berkemampuan.

"Etiqa sebagai syarikat insuran dan takaful prihatin keadaan B40, jadi akan membantu golongan berkenaan mengesan barah di peringkat awal kerana tidak mahu membiarkan segmen (golongan) itu," katanya.

Artikel ini disiarkan pada : Selasa, 6 Disember 2022 @ 1:13 PM