SEMUA peserta tersenyum gembira selepas mengetahui ujian saringan negatif.
SEMUA peserta tersenyum gembira selepas mengetahui ujian saringan negatif.
HM Digital

Data terkini daripada Tinjauan Mata Kebangsaan mendapati wanita lebih berusia mempunyai daya penglihatan yang lebih rendah berbanding lelaki.

Kesan daripada kecacatan penglihatan ini menyebabkan mereka mengalami kesukaran untuk bekerja sepenuh masa dan sering berdepan dengan kesukaran memenuhi keperluan hidup.

Menyedari kesukaran golongan cacat penglihatan terutamanya wanita mendapatkan pemeriksaan berkaitan kanser, baru-baru ini wanita OKU penglihatan daripada Persatuan Orang Buta Malaysia (MAB) menerima pemeriksaan kanser payudara secara percuma sempena Pink October yang mendapat pengiktirafan antarabangsa sebagai bulan kesedaran kanser payudara.

Mereka adalah salah satu komuniti yang terpilih untuk menerima manfaat daripada program Mamogram Percuma Etiqa. Program setahun bersama Persatuan Kanser Kebangsaan Malaysia (NCSM) memberi peluang kepada wanita kurang berkemampuan berusia 40 tahun ke atas untuk menjalani ujian saringan kanser payudara secara percuma.

Etiqa membawa wanita ini dari pusat MAB di Brickfields ke NCSM untuk menjalani ujian mamogram. Sejurus keputusan pemeriksaan keluar, semua didapati sihat dan bebas daripada kanser payudara.

Pengurus Atasan Kanan Projek NCSM, Viji Nair berkata, peluang untuk hidup adalah hampir 100 peratus jika kanser payudara dikesan lebih awal iaitu pada tahap satu atau dua, sekali gus menjadikan ujian saringan seperti mamogram sangat penting.

“Bersama Etiqa, kami ingin mendapatkan seberapa ramai wanita yang kurang berkemampuan, dengan memberi mereka peluang untuk mendapatkan pemeriksaan payudara secara percuma,” tambahnya.

Menurut Radzimah Mat Yasin, 66, dia kehilangan penglihatan sejak berusia dua tahun akibat demam panas.

Kehidupannya bertambah perit apabila suaminya meninggal dunia sejak 17 tahun lalu dan untuk menampung kehidupan, Radzirah bekerja secara separuh masa di MAB dan diberi elaun RM350 oleh kerajaan.

“Saya memahami kepentingan menjaga kesihatan, tetapi saya tidak mampu untuk mendapatkan ujiansaringan kanser. Saya bertuah kerana Etiqa prihatin dengan insan seperti kami. Saya gembira dan bersyukur kerana keputusan saringan saya negatif,” katanya.

Seorang lagi wanita, P Indramoney turut tidak ketinggalan menjalani saringan kanser dan hasil ujian mendapati dirinya negatif kanser.

Wanita berusia 70 tahun itu yang tinggal bersama suaminya dilahirkan dengan penanggalan retina amat berterima kasih kepada Etiqa dan NCSM kerana berkongsi kesedaran mengenai pengesanan awal terhadap kanser payudara dengan komuniti sepertinya.

Penolong Pegawai Kebajikan di MAB, Manoghayathiri menzahirkan rasa terima kasih kepada syarikat itu yang memberi peluang kepada persatuan berkenaan menjadi sebahagian daripada program itu secara percuma.

“Kami sering dilupakan dan ramai tidak tahu kami juga menghadapi cabaran yang sama dalam hal kesihatan,” katanya.

Matlamat Etiqa untuk meningkatkan kesedaran dalam kalangan 5,000 wanita yang kurang berkemampuan mengenai kepentingan pengesanan awal bagi meningkatkan kadar kelangsungan hidup penyakit kanser payudara dengan menjadi badan pertama untuk bekerjasama dengan NCSM dalam menawarkan mamogram pada skala sedemikian.

Wanita yang layak akan dibawa ke Pusat NCSM di Kuala Lumpur atau hospital yang dilantik di seluruh negara untuk mendapatkan saringan mamogram secara percuma.

NCSM bekerjasama dengan masyarakat tempatan dan badan bukan kerajaan (NGO) di seluruh negara untuk mengenal pasti wanita yang kurang bernasib baik untuk menyertai program berkenaan.

Artikel ini disiarkan pada : Selasa, 5 Disember 2017 @ 2:08 PM