DARI kiri, DR Kshitij, Dr Murallitharan dan Dr Tan melancarkan program kesedaran dan pendidikan kanser pankreas baru- baru ini. FOTO Mohamad Shahril Badri Saali
DARI kiri, DR Kshitij, Dr Murallitharan dan Dr Tan melancarkan program kesedaran dan pendidikan kanser pankreas baru- baru ini. FOTO Mohamad Shahril Badri Saali
Muhamaad Razis Ismail


KANSER pankreas antara pembunuh senyap yang menyebabkan kadar kematian yang tinggi.

Penyakit ini berada di kedudukan ke-12 antara kanser paling biasa didiagnosis di seluruh dunia dan menduduki tempat ketujuh penyebab kematian.

Laporan Global Cancer Observatory 2020 (Globocan) oleh Pertubuhan Kesihatan Dunia menunjukkan Malaysia mempunyai 1,089 kes baharu dan 1,066 kematian kanser pankreas pada 2020. Prevalens penyakit ini adalah dua dalam setiap 100,000.

Sebahagian besar punca kadar kelangsungan hidup rendah disebabkan diagnosis dan pengesanan lambat sehingga menyebabkan pilihan rawatan menjadi terhad

Sehubungan itu, pengesanan dan pencegahan adalah keutamaan kerana ia teras dalam perjalanan rawatan serta kesan kesihatan pesakit.

Perunding Klinikal Onkologi, Dr Tan Chih Kiang menjelaskan, kanser pankreas berlaku apabila sel abnormal di pankreas berganda tanpa kawalan dan membentuk tumor.

"Secara amnya, kanser pankreas menjejaskan lebih ramai lelaki berusia 50 tahun ke atas. Faktor risiko termasuk diabetes, merokok, pengambilan alkohol, obesiti dan sejarah kanser keluarga.

"Sekiranya individu kerap alami simptom seperti kesakitan abdomen atau bahagian tengah belakang, jaundis, mual, pengurangan berat badan tidak diingini dan masalah penghadaman, mereka dinasihat mendapatkan rundingan doktor yang mungkin membuat pengimejan atau ujian diagnostik untuk memastikan punca penyakit.

"Memandangkan simptom ini biasa dan samar-samar, kes kanser pankreas selalunya tidak disedari atau disalah anggap sebagai keadaan kurang teruk. Ini menjadikan pengesanan awal mencabar, membawa kepada diagnosis tertangguh, pilihan rawatan terhad dan kadar kelangsungan hidup lebih rendah," katanya.

Menyedari perkara itu, Servier Malaysia dan Persatuan Kebangsaan Kanser Malaysia (NCSM) berganding bahu meningkatkan kesedaran terhadap kepentingan menjadi proaktif dan mengambil pendekatan segera dalam pengurusan kanser pankreas.

Pengurus Besar Servier Malaysia, Dr Kshitij Panse berkata, program kesedaran dan pendidikan kanser pankreas dengan tema Bersama, Kita Lebih Teguh.Saling Menyokong Mengharungi Kanser Pankreas bertujuan mengetengahkan kepentingan pengesanan dan intervensi awal.

Katanya, pada masa sama, pihaknya ingin berkongsi maklumat dengan pesakit dan keluarga mereka mengenai perkhidmatan serta sokongan yang boleh membantu mereka mengharungi cabaran hidup dengan penyakit mencabar ini.

"Usaha ini sejajar dengan fokus servier yang sentiasa mengutamakan kepentingan dan keperluan pesakit sebagai nadi aktiviti kami daripada penyelidikan dan pembangunan kepada program komuniti.

"Kerjasama kami dengan profesional penjagaan kesihatan untuk mendidik dan mempertingkatkan pengetahuan masyarakat mengenai penyakit ini dilengkapi perkhidmatan sokongan psikososial NCSM yang tersedia untuk pesakit dan keluarga mereka," katanya.

Sementara itu, Pengarah Urusan NCSM, Dr Murallitharan Munisamy berkata, hidup dengan kanser pankreas boleh membebankan dan melemahkan tenaga yang boleh kesan buruk kepada pesakit, penjaga mereka dan orang tersayang.

"NCSM boleh memainkan peranan dalam memberi perkhidmatan sokongan pelbagai disiplin dan psikologi klinikal meliputi keperluan fizikal, emosi dan mental pesakit dan keluarga mereka.

"Perkhidmatan disediakan daripada peringkat diagnosis kanser sehingga ke peringkat kelangsungan hidup. Ia merangkumi pelbagai bidang termasuk sokongan emosi, strategi menghadapi keadaan, pengurusan kebimbangan dan kemurungan, kesedihan dan kehilangan, nasihat pemakanan dan khasiat serta panduan untuk meningkatkan kualiti kehidupan yang menyeluruh," katanya.

Artikel ini disiarkan pada : Ahad, 24 September 2023 @ 6:21 AM