Noor Hidayah Tanzizi


Kuala Lumpur: "Untuk membaca al-Quran menggunakan Braille memerlukan seseorang itu belajar titik Braille terlebih dulu supaya lebih mudah membacanya," kata Mohamad Syafiizwan Mohd Suhaini.

Mohamad Syafiizwan, 22, adalah Juara Keseluruhan Majlis Tilawah al-Quran Braille (MTQB) 2022, di sini, hari ini.

Menurutnya, dia yang dilahirkan kurang upaya (OKU) penglihatan mengambil masa hampir setahun untuk belajar kod dan mengingati titik Braille yang agak mencabar.

Bagaimanapun katanya, semua itu tidak menjadi penghalang kepadanya untuk mendalami kitab suci berkenaan kerana dia sangat mencintai al-Quran.

"Saya belajar al-Quran Braille dan taranum ketika berusia tujuh tahun dan tilawah setahun selepas itu. Pada mulanya, ayah (Mohd Suhaini Misbah, 60) membeli kaset bacaan ayat al-Quran dan sejak itu berminat mahu mendalami kitab suci ini.

"Saya menyertai beberapa pertandingan tilawah atas dorongan ibu bapa dan guru selain minat mendalami al-Quran dan taranum," katanya ketika ditemui selepas MTQB 2022, di sini.

MTQB 2022 dianjurkan Yayasan Maghfirah (YM) bersama Persatuan Orang-Orang Cacat Penglihatan Islam Malaysia (Pertis) yang disertai 32 peserta OKU penglihatan seluruh negara bermula kelmarin hingga hari ini.

Majlis penutupan disempurnakan oleh Pengarah Kanan Bahagian Dasar Kemajuan Islam Jabatan Kemajuan Islam Malaysia, Dr Muhammad Yamin Ismail.

Turut hadir, Ketua Pegawai Eksekutif YM, Shuib Norudin dan Pengarah MTQB Shahril Azrie.

Mohamad Syafiizwan berkata, dia sebelum ini pernah menjuarai tilawah pada 2019 dan 2021 dan kini bertugas sebagai muazin di Masjid Sultan Salahuddin Abdul Aziz Shah, Shah Alam sejak 2019.

Manakala, juara kategori wanita, Afzam Mustafa, 42, dari Kemaman, Terengganu berkata, dia tidak menyangka dengan kejayaan berkenaan kerana baharu pulih daripada batuk, namun begitu bersyukur.

Menurutnya, dia yang bertugas sebagai guru agama di Pusat Pengajian Braille, Paka sudah banyak menyertai majlis tilawah al-Quran dan memenangi beberapa pertandingan.

"Saya berazam mahu mendidik lebih ramai golongan senasib mendalami al-Quran kerana sebagai orang Islam, kitab suci ini menjadi pedoman dan kita boleh membacanya walaupun tidak sempurna," katanya.

Sementara itu, Shuib berkata, pihaknya komited menjalankan kempen dan program untuk membaiki taraf kehidupan masyarakat termasuk semua golongan OKU.

"Melalui sumbangan masyarakat, kami menyalurkan kepada Pertis bagi membeli 10 mesin cetak Braille untuk mencetak lebih banyak al-Quran Braille selain dana untuk memberi lebih 3,000 naskah al-Quran itu kepada OKU penglihatan secara percuma," katanya.

Artikel ini disiarkan pada : Ahad, 4 Disember 2022 @ 3:46 PM
Mohammad Syafiizwan memperdengarkan bacaan beliau pada majlis perasmian penutup Tilawah Al-Quran Braille 2022 di Hotel Pacific Regency. FOTO ASYRAF HAMZAH
Mohammad Syafiizwan memperdengarkan bacaan beliau pada majlis perasmian penutup Tilawah Al-Quran Braille 2022 di Hotel Pacific Regency. FOTO ASYRAF HAMZAH