MUHAMMAD Fiqry  dan Noor Hidayah dinobatkan johan Tilawah al-Quran Braille 2017 kategori lelaki dan wanita, semalam.
MUHAMMAD Fiqry dan Noor Hidayah dinobatkan johan Tilawah al-Quran Braille 2017 kategori lelaki dan wanita, semalam.
Siti Fatimah Nasir

Ampang: Jika orang lain boleh buat, saya juga boleh melakukannya. Prinsip itu menggambarkan kesungguhan seorang lelaki orang kurang upaya (OKU) cacat penglihatan sejak kecil yang tidak menjadikan kekurangan diri sebagai alasan menghafal serta membaca kitab suci sehingga berjaya bergelar johan qari dalam Majlis Tilawah al-Quran Braille 2017, semalam.

Muhammad Fiqry Muhammad Fahmi, 22, antara 36 peserta paling muda dan tidak menyangka meraih kemenangan itu berikutan perlu bersaing dengan peserta lain yang juga berpengalaman dan hebat.

“Memang tidak dinafikan, pada mulanya saya menghadapi sedikit kesukaran untuk menghafal al-Quran memandangkan saya tidak boleh melihat dan perlu menggunakan jari untuk membaca setiap baris ayat di atas al-Quran Braille ini.

“Namun, semua kepayahan itu saya atasi sebaiknya disebabkan minat dan kesungguhan mempelajari al-Quran serta dorongan yang tidak putus daripada keluarga, rakan dan pengajar,” katanya ketika ditemui selepas diumumkan sebagai johan tilawah al-Quran kategori lelaki anjuran Persatuan Orang-Orang Cacat Penglihatan Islam Malaysia (PERTIS).

Fiqry yang berasal dari Tuaran, Sabah berkata, dia mula mempelajari al-Quran ketika berusia tujuh tahun dan mengambil masa selama tiga tahun untuk menghafal kalam Allah ketika belajar di Sekolah Kebangsaan Pendidikan Khas Princess Elizabeth, Johor Bharu.

“Biarpun saya cacat penglihatan, namun kelemahan ini bukanlah penghalang buat saya untuk tidak mempelajari al-Quran seperti orang normal yang lain.

“Alhamdulillah, dengan izin Allah kini saya sudah boleh menghafaz al-Quran sebanyak dua juzuk di mana setiap hari saya akan menghafaznya bagi mengelakkan terlupa,” katanya.

Sementara itu, seorang peserta wanita yang juga menjadi johan Qariah Tilawah Al-Quran Braille Peringkat Kebangsaan 2017, Noor Hidayah Mohd Yusoff, 23, yang juga OKU cacat penglihatan berkata, kejayaan yang dikecapinya pada hari ini (semalam) bukan untuk pencapaian dirinya tetapi demi menyempurnakan impian kedua ibu bapa yang mahu salah seorang anaknya menghafal al-Quran.

Artikel ini disiarkan pada : Isnin, 4 Disember 2017 @ 10:09 AM