GAMBAR hiasan. Taman Eko Rimba Telok Arong, Mersing. FOTO arkib NSTP
GAMBAR hiasan. Taman Eko Rimba Telok Arong, Mersing. FOTO arkib NSTP
Omar Ahmad

Johor Bahru : Taman Eko Rimba, trek pendakian dan laluan kenderaan 4x4 dalam Hutan Simpan Kekal seluruh negeri Johor akan ditutup kepada orang awam mulai esok.

Pengarah Jabatan Perhutanan Negeri Johor (JPNJ), Datuk Salim Aman berkata penutupan itu adalah sebagai langkah berjaga-jaga bagi mengelakkan sebarang kejadian atau kemalangan yang tidak diingini berlaku pada musim tengkujuh.

Katanya penutupan itu sehingga satu tarikh yang akan dimaklumkan kemudian.

"Taman eko, trek pendakian dan laluan kenderaan 4x4 dalam hutan simpan seluruh negeri ini akan ditutup bermula esok kepada pengunjung.

"Ia sebagai langkah awal berjaga-jaga bagi mengelakkan kejadian buruk ketika musim hujan atau tengkujuh.

"Sebarang pelanggaran terhadap arahan itu akan diambil tindakan di bawah Enakman Perhutanan Negara (pemakaian) 1985 negeri Johor,"katanya ketika dihubungi di sini hari ini.

Salim berkata notis penutupan itu sudah dimaklumkan di laman sosial rasmi jabatan.

Artikel ini disiarkan pada : Sabtu, 17 Disember 2022 @ 9:25 AM