Mohamed Farid Noh

Iskandar Puteri: Jambatan Sungai Pulai menghubungkan Gelang Patah-Tanjung Bin, Pontian, mula dibuka untuk kegunaan awam, petang ini.

Jambatan sepanjang 7.5 kilometer (km) itu dibina dengan kos RM800 juta bermula 2017 dan siap sepenuhnya Disember lalu.

Menteri Besar Datuk Onn Hafiz Ghazi berkata, ia adalah projek kerjasama awam-swasta membabitkan Seaport Worldwide Sdn Bhd, syarikat kumpulan MMC Corporation Bhd, yang dibina merentasi Sungai Pulai menghubungkan Gelang Patah di sini, ke Tanjung Bin, Pontian.

Katanya, jambatan itu dilengkapi laluan dua hala dengan dua lorong setiap laluan selain mempunyai laluan kapal di bawahnya dengan ketinggian 25 meter dan lebar 100 meter.

"Jambatan Sungai Pulai akan memberi laluan terus dari Pelabuhan Tanjung Pelepas (PTP) ke Tanjung Bin. Dengan pembukaan jambatan ini, masa perjalanan asal selama lebih satu jam dari PTP ke Kukup, Pontian dapat dipendekkan kepada hanya 30 minit.

"Berdasarkan kajian 'Traffic Impact Assessment', dianggarkan sebanyak 3,000 kenderaan akan melalui jambatan ini pada waktu puncak setiap jam.

"Ia bukan sahaja mempercepatkan perjalanan dan aktiviti perniagaan bagi komuniti yang tinggal di Johor Bahru dan Pontian, malah ia akan memberi kesan ekonomi yang positif di kawasan berhampiran jambatan berkenaan," katanya ketika merasmikan Jambatan Sungai Pulai, di sini, hari ini.

JAMBATAN Sungai Pulai. FOTO Nur Aisyah Mazalan
JAMBATAN Sungai Pulai. FOTO Nur Aisyah Mazalan

Hadir sama, Ahli Parlimen Simpang Renggam, Datuk Seri Hasni Mohammad, Ahli Parlimen Tanjung Piai, Datuk Seri Dr Wee Jeck Seng dan Pengerusi Seaport Worldwide Sdn Bhd merangkap Pengarah Urusan Kumpulan MMC Corporation Bhd, Tan Sri Che Khalib Mohamad Noh.

Dalam pada itu, Onn Hafiz yang juga Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Machap berkata, kerajaan Johor sangat berpuas hati dengan penyempurnaan projek Jambatan Sungai Pulai kerana ia akan membawa manfaat besar kepada rakyat.

"Pembukaan Jambatan Sungai Pulai

akan meletakkan Pontian sebagai hab sosio-ekonomi baharu di negeri ini selain merancakkan aktiviti ekonomi, meningkatkan nilai hartanah selain menggalakkan pembangunan destinasi utama bagi pelaburan asing.

"Ia juga akan membawa pelbagai peluang pekerjaan ke kawasan setempat selain menggalakkan industri pelancongan terutamanya eko-pelancongan di Tanjung Piai dan Kukup, terutamanya pelancong dari Singapura.

"Sasaran pertumbuhan ekonomi sebegini perlu diampuh bukan sahaja dengan perancangan strategik yang radikal, tetapi yang lebih penting lagi adalah kerjasama erat antara agensi kerajaan serta pihak swasta dalam pelaksanaan sesuatu projek," katanya.

Artikel ini disiarkan pada : Khamis, 19 January 2023 @ 12:30 PM