ULAR tedung selar sepanjang empat meter yang ditangkap anggota APM di bangsal besi barang terpakai di Kampung Bukit Naka. FOTO Ihsan APM
ULAR tedung selar sepanjang empat meter yang ditangkap anggota APM di bangsal besi barang terpakai di Kampung Bukit Naka. FOTO Ihsan APM
Zuliaty Zulkiffli


PENCARI besi buruk bernasib baik apabila sempat mengelak dari dipatuk ular tedung selar selepas menyangka reptilia itu adalah tali yang berjuntai di atas bangsal barangan lusuh di Kampung Bukit Naka, di Padang Terap, malam tadi.

Pegawai Pertahanan Awam Daerah Padang Terap, Leftenan (PA) Mohd Shukri Shuib berkata, pihaknya menerima panggilan 9.20 malam dari lelaki terbabit selepas menyedari kehadiran reptilia sepanjang empat meter dan beratnya enam kilogram itu.

Beliau berkata, lelaki itu menemui ular berkenaan ketika mencari besi buruk di sekitar bangsal yang menempatkan barangan terpakai.

“Ular tedung selar itu berada tepat di atas kepalanya, namun dia sempat mengelak walaupun pada mulanya dia menyangka objek itu adalah tali.

“Anggota kami disertai dua orang bersama pegawai, Leftenan Muda (PA) Nurul Nadya Yahya tiba di lokasi 9.45 malam untuk membantu menangkap ular tedung selar berkenaan,” katanya ketika dihubungi hari ini.

Mohd Shukri berkata, hasil pemeriksaan mendapati, ular tedung selar itu ditemui antara alang bangsal dan penutup enjin kereta terpakai di bangsal berkenaan.

Beliau berkata, pihaknya mengambil masa kira-kira 30 minit untuk menangkap ular tedung selar itu yang bertindak agresif dan sukar ditangkap.

“Bagaimanapun, reptilia itu akhirnya ditangkap oleh anggota berdasarkan kemahiran dan peralatan khas yang digunakan.

“Ular tedung selar itu kemudian dibawa ke pejabat APM Padang Terap untuk tindakan lanjut sebelum diserahkan kepada Jabatan Perlindungan Hidupan Liar dan Taman Negara (PERHILITAN),” katanya.

Artikel ini disiarkan pada : Selasa, 9 April 2019 @ 9:04 AM