DR Noor Hisham. FOTO Arkib NSTP
DR Noor Hisham. FOTO Arkib NSTP
BERNAMA

Kuala Lumpur: Kes baharu Covid-19 di negara ini menurun 2.5 peratus kepada 18,606 kes pada Minggu Epidemiologi ke-47 (ME 47/2022) iaitu dari 20 hingga 26 November, berbanding 19,083 kes pada ME sebelumnya.

Ketua Pengarah Kesihatan Tan Sri Dr Noor Hisham Abdullah dalam kenyataan hari ini berkata, bilangan kes tempatan menurun 2.6 peratus daripada 19,068 kes (ME 46/2022) kepada 18,581 kes manakala kes import meningkat 66.7 peratus (15 kes kepada 25 kes).

Katanya, bagi kes sembuh pada minggu sama, angkanya menurun 19 peratus (23,089 kes kepada 18,699 kes) manakala kes kematian meningkat sebanyak 17 peratus daripada 47 kes kepada 55 kes.

"Purata kes aktif setiap hari bagi ME 47/2022 menurun 2.8 peratus (27,806 kes kepada 27,020 kes) berbanding ME 46/2022," katanya.

Menurutnya secara kumulatif, 4,984,272 kes baharu Covid-19 dicatatkan sejak ME 4/2020 iaitu 25 Jan 2020 hingga ME 47/2022 (16 November 2022), sementara kes sembuh yang direkodkan bagi tempoh sama adalah sebanyak 4,920,983 kes serta 36,648 kematian direkodkan.

Mengenai kemasukan pesakit ke hospital dan Pusat Rawatan Covid-19 Berisiko Rendah (PKRC) awam bagi setiap 100,000 penduduk, Dr Noor Hisham berkata, secara keseluruhannya meningkat 5.1 peratus.

Beliau berkata, jumlah kemasukan ke hospital awam bagi kategori satu (tidak bergejala) dan dua (bergejala) meningkat 3.4 peratus, manakala bagi kategori tiga (mempunyai radang paru-paru), empat (perlu bantuan oksigen) dan lima (perlu alat bantuan pernafasan) pula meningkat 4.1 peratus.

Artikel ini disiarkan pada : Isnin, 28 November 2022 @ 4:38 PM