BERNAMA

Kuala Lumpur: Jumlah kemasukan pesakit Covid-19 ke fasiliti kesihatan bagi setiap 100,000 penduduk menurun sebanyak 6.5 peratus pada Minggu Epidemiologi keenam tahun ini (ME 6/2023) dari 5 hingga 11 Feb, berbanding minggu sebelumnya.

Ketua Pengarah Kesihatan Tan Sri Dr Noor Hisham Abdullah berkata, jumlah kemasukan pesakit Covid-19 ke hospital awam bagi setiap 100,000 populasi pada ME 6/2023 berbanding ME 5/2023 bagi pesakit kategori satu dan dua tiada perubahan dengan kekal pada 0.4 peratus manakala kategori tiga hingga lima pula kekal pada 0.5 peratus.

"Peratus pengisian katil fasiliti Covid-19 pada ME 6/2023 berbanding ME 5/2023 bagi katil bukan kritikal juga merekodkan tiada perubahan (kekal pada 8 peratus) manakala katil unit rawatan rapi (ICU) menurun sebanyak dua peratus," katanya dalam kenyataan hari ini.

Beliau berkata kes positif Covid-19 yang dipantau Pusat Penilaian Covid-19 (CAC) di seluruh negara menunjukkan penurunan namun bilangan kes Covid-19 yang dirujuk CAC ke hospital meningkat 130 peratus.

Selain itu, dari 25 Jan 2020 (ME 4/2020) hingga 11 Feb 2023 (ME 6/2023), kumulatif kes baharu Covid-19 ialah 5,039,326 kes, kumulatif kes sembuh (4,993,160), purata kes aktif (9,490), kumulatif kes kematian (36,951) dan kumulatif kluster sebanyak 7,171 dengan lima kluster aktif.

Dr Noor Hisham memaklumkan bilangan kes baharu pada ME 6/2023 menurun 19.4 peratus (1,913 kes kepada 1,542 kes), bilangan kes sembuh meningkat 63.1 peratus (1,270 kes kepada 2,071 kes) manakala bilangan kes kematian juga meningkat 166.7 peratus (tiga kes kepada lapan kes).

Sementara itu, nilai kadar kebolehjangkitan (Rt) pada ME 6/2023 ialah 0.94, katanya.

Dr Noor Hisham berkata hasil survelan Covid-19 di lokasi sentinel seluruh negara hingga ME 6/2023 mendapati sebanyak 22 sampel Penyakit Seperti Influenza (ILI) dikesan positif Covid-19 dengan kadar positif 2.8 peratus dan sebanyak 1.9 peratus Jangkitan Pernafasan Akut Teruk (SARI) dikesan positif Covid-19.

Beliau berkata Kementerian Kesihatan akan terus memantau perkembangan kejadian jangkitan di dalam dan luar negara melalui maklumat diperoleh daripada Pertubuhan Kesihatan Sedunia (WHO) dan pihak berkuasa negara-negara serantau selain memastikan agar langkah pencegahan dan kawalan sewajarnya dilaksanakan secara berterusan.

Artikel ini disiarkan pada : Selasa, 14 Februari 2023 @ 11:56 AM