DR Noor Hisham. FOTO BERNAMA
DR Noor Hisham. FOTO BERNAMA
BERNAMA

Kuala Lumpur: Kes baharu Covid-19 di negara ini menurun 13.4 peratus kepada 23,045 kes pada Minggu Epidemiologi ke-45 (ME 45/2022) iaitu dari 6 hingga 12 November, berbanding 26,577 kes pada ME sebelumnya.

Ketua Pengarah Kesihatan Tan Sri Dr Noor Hisham Abdullah dalam kenyataan hari ini berkata kes kematian pula meningkat sebanyak 82.8 peratus daripada 29 kes kepada 53 kes.

Katanya, bilangan kes sembuh pada ME 45 turut meningkat sebanyak 38.5 peratus kepada 28,704 kes berbanding 20,718 kes pada minggu sebelumnya.

"Purata kes aktif setiap hari bagi ME 45/2022 meningkat sebanyak 1.7 peratus (33,449 kes kepada 34,033 kes) berbanding ME 44/2022," katanya.

Beliau berkata secara kumulatif sebanyak 4,946,583 kes baharu Covid-19 dicatatkan sejak ME 4/2020 iaitu 25 Jan 2020 hingga ME 45/2022 (12 November 2022), sementara kes sembuh yang direkodkan adalah sebanyak 4,879,195 kes.

Dr Noor Hisham berkata kumulatif kes kematian yang dicatatkan bagi tempoh sama adalah sebanyak 36,546 kes dan kumulatif kluster ialah 7,134 kluster dengan 49 kluster masih aktif.

Mengenai kemasukan pesakit ke hospital dan Pusat Rawatan Covid-19 Berisiko Rendah (PKRC) awam bagi setiap 100,000 penduduk, beliau berkata secara keseluruhannya meningkat 14.4 peratus.

Beliau berkata jumlah kemasukan ke hospital awam bagi kategori satu (tidak bergejala) dan dua (bergejala) meningkat sebanyak 15.2 peratus.

Selain itu, jumlah kemasukan bagi kategori tiga (mempunyai radang paru-paru), empat (perlu bantuan oksigen) dan lima (perlu alat bantuan pernafasan) pula meningkat 16.2 peratus, kata Dr Noor Hisham.

Artikel ini disiarkan pada : Isnin, 14 November 2022 @ 2:05 PM