TAN Sri Dr Noor Hisham Abdullah. FOTO Arkib NSTP.
TAN Sri Dr Noor Hisham Abdullah. FOTO Arkib NSTP.
BERNAMA

Kuala Lumpur: Jumlah kemasukan pesakit Covid-19 ke hospital awam bagi setiap 100,000 populasi berdasarkan kategori pada Minggu Epidemiologi kesembilan 2023 (ME 9/2023) berbanding ME 8/2023 meningkat 33 peratus bagi kategori satu hingga lima, kata Ketua Pengarah Kesihatan Tan Sri Dr Noor Hisham Abdullah.

Beliau berkata perbandingan kes baharu, kes sembuh dan kes kematian Covid-19 antara ME 8/2023 dan ME 9/2023 (26 Februari hingga 4 Mac) menunjukkan bilangan kes baharu meningkat 5.2 peratus (1,367 kepada 1,438 kes), bilangan kes sembuh menurun 8.8 peratus (1,497 kepada 1,365 kes) dan bilangan kes kematian meningkat 300 peratus (dua kepada lapan kes).

"Bagi kes positif Covid-19 yang dipantau Pusat Penilaian Covid-19 (CAC) di seluruh negara pula menunjukkan penurunan dan perbandingan data CAC fizikal yang dilaporkan pada ME 9/2023 berbanding minggu sebelumnya menunjukkan bilangan kedatangan pesakit ke CAC menurun 12.2 peratus.

"Sementara bilangan kes Covid-19 baharu yang menjalani pemantauan di rumah meningkat 321.7 peratus dan bilangan kes Covid-19 yang dirujuk CAC ke hospital menurun 14.3 peratus," katanya dalam kenyataan hari ini.

Dr Noor Hisham berkata dari 25 Januari 2020 (ME 4/2020) hingga 4 Mac 2023 (ME 9/2023), kumulatif kes baharu ialah 5,043,626 kes manakala kumulatif kes sembuh sebanyak 4,997,806.

"Purata kes aktif ialah 8,851, kumulatif kes kematian 36,965 dan kumulatif kluster sebanyak 7,172 dengan dua kluster aktif," katanya.

Selain itu, peratus pengisian katil fasiliti Covid-19 pada ME 9/2023 berbanding ME 8/2023 adalah katil bukan kritikal meningkat satu peratus, katil Unit Rawatan Rapi (ICU) tiada perubahan iaitu kekal pada dua peratus dan peratusan pesakit Covid-19 memerlukan alat bantuan pernafasan (ABP) menurun pada 0.2 peratus.

"Jumlah kemasukan pesakit Covid-19 ke fasiliti kesihatan bagi setiap 100,000 penduduk kekal pada 2.8 peratus pada ME 9/2023 dari 26 Feb hingga 4 Mac berbanding ME 8/2023," katanya.

Beliau berkata survelan Penyakit Seperti Influenza (ILI) dan Jangkitan Pernafasan Akut Teruk (SARI) bagi Covid-19 oleh Kementerian Kesihatan di lokasi sentinel seluruh negara mendapati 17 sampel ILI dikesan positif Covid-19 dengan kadar positif 2.4 peratus pada ME 9/2023 dan tiada sampel SARI dikesan positif Covid-19 pada minggu sama.

Artikel ini disiarkan pada : Selasa, 7 Mac 2023 @ 1:07 PM