GAMBAR hiasan
GAMBAR hiasan
BERNAMA

Kuala Lumpur: Kes baharu Covid-19 di seluruh negara turun 33.7 peratus kepada 7,249 kes pada Minggu Epidemiologi ke-50 (ME 50/2022) iaitu dari 11 hingga 17 Disember berbanding 10,937 kes pada ME sebelumnya.

Ketua Pengarah Kesihatan Tan Sri Dr Noor Hisham Abdullah berkata bilangan kes tempatan turun 33.8 peratus daripada 10,923 kes kepada 7,232 kes bagi ME50/2022 manakala kes import meningkat 21.4 peratus daripada 14 kes kepada 17 kes.

"Bilangan kes sembuh pada ME 50/2022 turun 30.3 peratus (14,816 kes kepada 10,330 kes). Bilangan kes kematian pada ME 50/2022 meningkat 9.3 peratus (43 kes kepada 47 kes)," kata beliau dalam kenyataan semalam.

Menurutnya secara kumulatif, 5,017,016 kes baharu Covid-19 direkodkan sejak 25 Januari 2020 (ME 4/2020) hingga 17 Disember lepas sementara 4,964,534 kes sembuh dan 36,800 kes kematian dicatatkan bagi tempoh yang sama.

Dr Noor Hisham berkata 7,162 kluster direkodkan secara kumulatif dengan 21 kluster masih aktif.

Mengenai kemasukan pesakit ke hospital dan Pusat Rawatan Covid-19 Berisiko Rendah (PKRC) bagi setiap 100,000 penduduk, beliau berkata secara keseluruhannya ia turun 21.6 peratus.

Turut menunjukkan trend penurunan adalah jumlah kemasukan ke hospital awam bagi kategori satu (tidak bergejala) dan dua (bergejala) dengan penurunan 28.6 peratus, manakala bagi kategori tiga (mempunyai radang paru-paru), empat (perlu bantuan oksigen) serta lima (perlu alat bantuan pernafasan) turun 31 peratus.

Selain itu, beliau berkata peratus pengisian katil fasiliti termasuk katil bukan kritikal dan katil Unit Rawatan Rapi (ICU) serta kes positif Covid-19 yang dipantau Pusat Penilaian Covid-19 (CAC) di seluruh negara turut menunjukkan penurunan.

Artikel ini disiarkan pada : Isnin, 19 Disember 2022 @ 2:22 PM