TUANKU Muhriz (kiri) meramah mesra dengan penerima Anugerah Pelajar Diraja Muhammad Khairul Izzat Haridan dan Lee Jun Xin pada majlis Konvokesyen UKM ke 50. FOTO Rohanis Shukri.
TUANKU Muhriz (kiri) meramah mesra dengan penerima Anugerah Pelajar Diraja Muhammad Khairul Izzat Haridan dan Lee Jun Xin pada majlis Konvokesyen UKM ke 50. FOTO Rohanis Shukri.
Noor Hidayah Tanzizi


Bangi: Universiti Kebangsaan Malaysia (UKM) merekodkan kadar kebolehpasaran 87.9 peratus tahun lalu dengan kebanyakan graduan mereka 'dilamar' syarikat dalam dan luar negara.

Naib Canselor UKM, Prof Datuk Dr Mohd Ekhwan Toriman berkata, graduan yang dihasilkan sekarang ini bukan saja mempunyai kemahiran dari segi kognitif ditetapkan, malah menguasai 'generic skill'.

Katanya, pihaknya juga menawarkan program yang membantu nilai tambah kepada pelajar atau graduan mereka seperti mendapat kemahiran luar daripada bidang mereka.

"Latihan industri juga banyak membuka peluang kepada kalangan pelajar mendapat pekerjaan dan selain itu di peringkat universiti kita juga sentiasa mengemaskini program baharu.

"Mana-mana program yang kita dapati tidak menepati banyak pasaran kita tak jumud tapi ditambah baik dan 'rebrand' program," katanya.

Sementara itu, Pegawai Kerja Sosial Perubatan sebuah hospital di Sabah, Nur Farah Alyaa Zakaria, 27, berkata, graduan juga perlu mempunyai kelebihan sendiri supaya menjadi berbeza dan lebih menyerlah.

Katanya, selain daripada akademik, graduan juga disokong untuk menyertai aktiviti luar kelas dan membabitkan diri dalam program yang membantu graduan mengasah bakat dan kemahiran interpersonal.

"Ketika belajar di Universiti Kebangsaan Malaysia (UKM) kami banyak didedahkan dengan situasi sebenar apabila bekerja bagi membina kemahiran

"Melalui program yang diikuti kami mempraktikkan teori yang dipelajari untuk digunakan semasa berkerja. Kami juga mempunyai pendedahan skop dan bidang kerja berkaitan dengan jurusan yang diambil (menjadi kelebihan yang dilihat majikan)," katanya tamat pengajian pada 2017.

Seorang lagi graduan UKM, Muhammad Khairul Izzat Haridan yang bergraduasi hari ini berkata, dia sudah berkerja sebulan lalu selepas diserap tamat menjalani latihan industri.

Menurutnya, UKM meningkatkan kebolehpasaran graduan dengan setiap program sentiasa mengemaskini silibus dan kurikulum mengikut kehendak industri.

"Selain latihan industri, kami juga didedahkan dengan perisian yang dikira sangat relevan dengan kehendak industri. Kami juga diberikan kursus atau ceramah berkenaan persediaan ke alam pekerjaan," katanya yang juga ahli geologi.

Artikel ini disiarkan pada : Sabtu, 26 November 2022 @ 5:25 PM