MENYERTAI badan beruniform seperti  polis dan tentera dapat meningkatkan semangat patriotisme.
MENYERTAI badan beruniform seperti polis dan tentera dapat meningkatkan semangat patriotisme.
SEMANGAT pelajar di universiti.
SEMANGAT pelajar di universiti.
KOR Sukarelawan polis siswa siswi berpeluang menyertai Gap Year.
KOR Sukarelawan polis siswa siswi berpeluang menyertai Gap Year.
Fazurawati Che Lah

Tempoh berehat selama satu tahun daripada pengajian menerusi program ‘Gap Year’ yang ditawarkan kepada pelajar di beberapa universiti awam (UA) untuk menyertai aktiviti sukarelawan berpotensi meningkatkan nilai kebolehpasaran graduan.

Ia sekali gus menjadikan tempoh pengalaman mengikuti latihan industri bertambah, lantas menjadi alternatif kepada penyelesaian masalah kesukaran mencari kerja oleh graduan baharu yang disebabkan faktor tempoh minimum pengalaman bekerja yang sering dikehendaki oleh majikan.

Selain dapat meningkatkan nilai kebolehpasaran graduan, inisiatif sebegini juga sebenarnya dapat memberi peluang kepada pelajar untuk meluaskan skop pekerjaan atau mekanisme sara diri mereka.

Gap Year 2017 yang akan bermula September ini memilih Universiti Teknologi MARA (UiTM) dan Universiti Kebangsaan Malaysia (UKM) sebagai perintis program.

Kedua-dua universiti itu akan diberi peluang untuk membolehkan pelajarnya bekerja dengan empat agensi terpilih iaitu Polis Diraja Malaysia (PDRM), Angkatan Tentera Malaysia (ATM), Jabatan Pertahanan Awam Malaysia (JPAM) dan Program Latihan Khidmat Negara (PLKN) dalam tempoh berkenaan.

Timbalan Naib Canselor Hal Ehwal Akademik dan Antarabangsa UKM Profesor Datuk Riza Atiq Abdullah O K Rahmat berkata, setahun bersama organisasi akan memberi manfaat yang besar kepada pelajar dari segi pembangunan kemahiran insaniah seperti kemahiran kepemimpinan dan komunikasi.

Katanya, tempoh setahun adalah masa yang cukup panjang untuk mendapatkan kemahiran, membentuk peribadi dan keterampilan yang jika ia disusun dengan baik, pelajar akan mendapat banyak manfaat.

“Sistem pengukuran kerja sebelum ini memang tertumpu kepada hal akademik, manakala kebolehan pelajar untuk berfungsi dalam masyarakat banyak bergantung kepada kemahiran insaniah seperti kemahiran kepemimpinan, komunikasi, bekerja dalam pasukan, bersosial dan kemahiran mengurus.

“Bagaimanapun, menerusi Gap Year, apabila pelajar keluar dari kampus selama setahun dan berkecimpung dalam masyarakat, kemahiran insaniah ini dapat mereka peroleh dengan lebih cepat,” katanya.

Katanya Gap Year akan memberi peluang kepada pelajar untuk keluar dari kampus dan bekerja sebagai sukarelawan, menjalani kemahiran yang diminati, bekerja di tempat yang boleh mengasah bakat atau membina keusahawanan mereka.

“Pelajar sekarang tidak seperti pada zaman 20 tahun lalu kerana mereka kini terdedah dengan pelbagai pengetahuan melalui Internet. Dengan pengetahuan baru, mereka ingin mencuba benda baru.

“Gap Year akan memberi peluang kepada mereka mencuba perkara baru yang mereka gemari atau mengasah bakat yang selama ini terpendam. Di samping itu Gap Year juga akan meningkatkan sikap kesukarelawanan apabila mereka keluar dari universiti untuk menyertai badan sukarela.

“Demikian juga jika mereka menyertai badan seperti polis dan tentera yang akan meningkatkan semangat patriotisme mereka,” katanya.

Riza berkata bagi program Gap Year di UKM, ia akan dibuka kepada semua pelajar prasiswazah 2017/2018 pada September akan datang.

Katanya, pada masa ini peraturan akademik sedang dikaji dan pindaan akan dibuat bagi membolehkan pelajar keluar meninggalkan kampus selama setahun.

“Penumpuan sedang diberikan kepada 70 pelajar yang mengikuti Kor Sukarelawan Polis Siswa Siswi (Suksis) UKM supaya mereka boleh menjalani kerja sukarelawan dengan PDRM selama setahun.

“Bidang lain seperti keusahawanan juga akan dibuka kepada pelajar yang berminat.

“Program ini tidak wajib, hanya untuk pelajar yang berminat sahaja.

“Pelajar yang hendak menyertai Gap Year perlu memberikan perancangan mereka selama setahun supaya tiada masa yang tersia-sia,” katanya.

Menurut beliau lagi, pelajar juga dibenarkan menyertai Gap Year jika mereka ingin membangunkan produk inovatif yang boleh dikomersialkan.

Jelas beliau, biarpun program itu melaksanakan kerja secara sukarela, namun UKM bercadang memberikan elaun dan sedang berbincang dengan agensi yang akan menampung pelajar dari segi kewangan.

Katanya perbincangan dengan syarikat swasta sudah diadakan dan ada sebahagian bersedia untuk memberikan latihan dan elaun.

Selain UiTM dan UKM, antara institusi pengajian tinggi awam (IPTA) lain yang terpilih ialah Universiti Teknologi Malaysia (UTM), Universiti Utara Malaysia (UUM), Universiti Sultan Zainal Abidin (UniSZA), Universiti Tun Hussein Onn Malaysia (UTHM), Universiti Malaysia Terengganu (UMT), Universiti Pendidikan Sultan Idris (UPSI) dan Universiti Malaysia Sabah (UMS).

Progra itu membabitkan penuntut tahun dua atau tiga dan mereka boleh memohon tanpa mengira jurusan yang diambil.

Jelas Riza lagi, bagi memastikan Gap Year lancar, garis panduan dan syarat yang jelas perlu dibangunkan terutama membabitkan objektif dan perancangan program yang tersusun seperti penempatan, sokongan kewangan dan syarat penyertaan.

Artikel ini disiarkan pada : Isnin, 10 April 2017 @ 5:51 AM