ILMU kemahiran ditimba sebaik mungkin.
ILMU kemahiran ditimba sebaik mungkin.
Hartini Mohd Nawi


PENDIDIKAN dan Latihan Teknikal dan Vokasional (TVET) adalah proses pendidikan dan latihan yang mempunyai hala tuju pekerjaan dengan penekanan utama terhadap amalan industri.

Pada masa sama, TVET turut bertujuan menghasilkan tenaga kerja yang kompeten dalam bidang-bidang tertentu.

Skop TVET perlu berdasarkan standard pekerjaan atau lazimnya Standard Kemahiran Pekerjaan Kemahiran (NOSS) yang diiktiraf dengan memberi penekanan terhadap komponen praktikal, kemahiran psikomotor dan pendedahan kepada latihan di industri.

Bagaimanapun, TVET di negara ini bukanlah satu perkara baru. Namun ia sering disalah erti sebagai pilihan kedua dan hanya layak untuk individu yang kurang cemerlang dari segi pencapaian akademik.

Stigma ini adalah biasa memandangkan kebanyakan kita yang lebih menekankan akademik sejak dari dahulu lagi. Hakikatnya, kini graduan program TVET kian mendapat perhatian majikan kerana memiliki pelbagai kemahiran dan kelebihan.

Begitu juga situasinya apabila masih ramai beranggapan bidang ini kurang peluang pekerjaan. Sebaliknya banyak peluang pekerjaan ditawarkan kepada graduan TVET.

Merujuk satu kajian, berdasarkan pengesanan graduan TVET Malaysia, kebolehpasaran graduan kemahiran adalah lebih tinggi berbanding graduan universiti sama ada diploma, ijazah pertama, ijazah sarjana mahu pun doktor falsafah (PhD).

Kebanyakan graduan TVET menawarkan kemahiran yang sememangnya menjadi rebutan kebanyakan majikan pada masa kini.

Apatah lagi mereka juga berpeluang untuk menjadi usahawan dengan kemahiran tambahan yang sedia ada.

Sekali gus mereka mampu menguasai pengetahuan dan kemahiran praktikal dengan lebih baik berbanding lulusan program akademik.

Kemahiran terus ditingkatkan kerana graduan ini didedahkan dengan keupayaan sesuatu produk dengan lebih dekat melalui eksperimen atau uji kaji.

Tidak perlu risau dengan pengiktirafan sijil TVET kerana ia diiktiraf agensi dan badan pengiktirafan di Malaysia seperti Agensi Kelayakan Malaysia (MQA), Jabatan Pembangunan Kemahiran (JPK) dan badan-badan profesional yang lain.

Artikel ini disiarkan pada : Isnin, 4 September 2023 @ 7:00 AM