GRADUAN usahawan yang diraikan bergambar kenangan.
GRADUAN usahawan yang diraikan bergambar kenangan.

Program SME@UKM yang diadakan sejak 2011 berjaya melahirkan ramai usahawan termasuk ketua pegawai eksekutif (CEO) syarikat korporat dalam pelbagai bidang.

Timbalan Naib Canselor Hal Ehwal Akademik dan Antarabangsa Universiti Kebangsaan Malaysia (UKM) Prof Datuk Dr Riza Atiq Abdullah OK Rahmat berkata, program berkenaan menjadi platform akademik untuk menghubungkan komuniti usahawan dengan universiti.

“Melalui program ini, komuniti usahawan akan mendapat akses kepada pakar dalam pelbagai bidang, maklumat dan kemahiran di universiti bagi membantu mereka meningkatkan prestasi perniagaan.

“Universiti pula memperoleh input dan kerjasama industri untuk menambah baik program pengajian terutama Program Sarjana dan Sarjana Muda Keusahawanan dan Inovasi serta membantu kebolehpasaran graduan universiti,” katanya pada Majlis Graduasi Program SME@UKM 2016, baru-baru ini

Seramai 20 usahawan menerima sijil graduasi masing-masing selepas tiga bulan menghadiri kursus di FEP bermula Mei lalu.

Tiga daripada mereka yang dinobatkan sebagai graduan terbaik keseluruhan turut menerima Anugerah Khas SME@UKM.

Program SME@UKM adalah hasil kerjasama strategik antara Pembangunan Sumber Manusia Berhad (PSMB), SMECorp dan Fakulti Ekonomi dan Pengurusan UKM.

Progam ini dilaksanakan sejak 2011 dengan UKM sebagai universiti perintis dalam membangunkan modul program dengan kerjasama SME Tokyo Universiti, Jepun.

Artikel ini disiarkan pada : Isnin, 31 Oktober 2016 @ 1:29 PM