Tengku Permaisuri Selangor Tengku Permaisuri Norashikin yang juga Pro Canselor Universiti Teknologi Mara (UiTM) berkenan menyampaikan titah pada Istiadat Konvokesyen UiTM ke-98 di Dewan Agung Tuanku Canselor UiTM Shah Alam hari ini. FOTO BERNAMA
Tengku Permaisuri Selangor Tengku Permaisuri Norashikin yang juga Pro Canselor Universiti Teknologi Mara (UiTM) berkenan menyampaikan titah pada Istiadat Konvokesyen UiTM ke-98 di Dewan Agung Tuanku Canselor UiTM Shah Alam hari ini. FOTO BERNAMA
Norzamira Che Noh


Shah Alam: Semua institut pengajian tinggi (IPT) perlu menyediakan program yang dapat membentuk pembangunan bakat dan sahsiah graduan secara langsung dengan dunia sebenar.

Tengku Permaisuri Selangor Tengku Permaisuri Norashikin yang juga Pro Canselor Universiti Teknologi Mara (UiTM) bertitah, universiti perlu memberi 'kepercayaan' kepada pelajar untuk memanfaatkan kemahiran dan pengetahuan mereka kepada komuniti.

Baginda bertitah, kebolehpasaran adalah salah satu indikator kepada kerelevanan program dan ketersediaan graduannya dalam sesebuah universiti.

"Perlu kita akui, bahawa pembangunan bakat adalah elemen penting dalam membantu meningkatkan ekonomi negara.

"Pembangunan bakat ini pula perlu diterapkan nilai-nilai insaniah bagi pembentukan sahsiah graduan. Ia adalah suatu pendekatan yang menekankan pada perkembangan individu secara holistik merangkumi aspek moral, etika, dan kemanusiaan.

"Rentetan daripada itu, suka saya tekankan, agar semua IPT seharusnya menyediakan program yang dapat membentuk pembangunan bakat dan sahsiah graduan secara langsung dengan dunia sebenar. "Kita perlu memberi kepercayaan kepada pelajar untuk memanfaatkan kemahiran dan pengetahuan mereka kepada komuniti," titah baginda pada Istiadat Konvokesyen UiTM ke-98 di Dewan Agung Tuanku Canselor (DATC) di sini, hari ini.

Tengku Permaisuri Norashikin turut menzahirkan kegembiraan apabila Kementerian Pendidikan Tinggi (KPT) memperkenalkan Service Learning Malaysia - Universiti For Society (SULAM) dengan menyediakan ruang kepada pelajar untuk memperkembangkan idea mereka kepada komuniti melalui kaedah Pembelajaran Menerusi Pengalaman.

"Kaedah ini pastinya akan membentuk keprofesionalan peribadi dan kesedaran kendiri dalam kalangan graduan. Malah ia juga menghasilkan graduan yang serba boleh, kalis masa depan dan mampu memanfaatkan revolusi platform digital," titah baginda.

Baginda bertitah, sesebuah universiti juga seharusnya terus memperkasakan penyelidikan sebagai misi dalam memajukan ilmu pengetahuan, mendorong inovasi, dan menangani cabaran masyarakat semasa.

Titah baginda, bagi menggalakkan program penyelidikan dijalankan di IPT terutama di peringkat Sarjana dan Doktor Falsafah, peluang untuk membuka kolaborasi dengan industri perlu dipertingkatkan yang mana industri boleh menjadi penyelia bersama kerana mereka boleh menyumbangkan idea yang mampu menyelesaikan masalah dalam industri sebenar.

"Justeru, saya menyeru dan menggalakkan graduan teruskan pembelajaran sehingga peringkat yang lebih tinggi. Pembelajaran tidak seharusnya terhenti di peringkat diploma dan ijazah sarjana muda saja kerana ilmu adalah asas kepada pembentukan tamadun tinggi.

"Sehubungan dengan itu, budaya menimba ilmu perlu dirancakkan kerana Malaysia memerlukan problem solver dalam membantu negara menghadapi cabaran yang semakin kompleks," titah baginda.

Pada istiadat konvokesyen yang berlangsung sehingga 14 November ini, seramai 24,714 graduan akan menerima ijazah dan diploma dalam bidang masing-masing termasuk UiTM Cawangan Sarawak dan Sabah.

Artikel ini disiarkan pada : Sabtu, 18 November 2023 @ 1:28 PM