TENGKU Permaisuri Norashikin (tengah) berkenan melancarkan tujuh buku terbitan Perbadanan Adat Melayu dan Warisan Negeri Selangor (PADAT) di Pustaka Raja Tun Uda. FOTO BERNAMA
TENGKU Permaisuri Norashikin (tengah) berkenan melancarkan tujuh buku terbitan Perbadanan Adat Melayu dan Warisan Negeri Selangor (PADAT) di Pustaka Raja Tun Uda. FOTO BERNAMA
Ruwaida Md Zain

Shah Alam: Tengku Permaisuri Selangor Tengku Permaisuri Norashikin mahu penulisan buku berkaitan seni warisan tekstil seperti sulaman kelingkan dan kain telepuk dijadikan sebagai sumber rujukan oleh generasi akan datang.

Tengku Permaisuri Norashikin bertitah, penulisan seumpama itu adalah satu dokumentasi penting yang kini semakin sukar diperoleh kerana tiada pengusaha yang mahir untuk menghasilkannya.

"Sekalung tahniah kepada Perbadanan Adat Melayu dan Warisan Negeri Selangor (PADAT) dan warga kerjanya di atas kejayaan menghasilkan karya berkaitan warisan ketara dan tidak ketara yang bermutu dan memiliki nilai tinggi.

"Saya difahamkan setiap kajian dan penulisan yang dilakukan adalah usaha dan titik peluh sepenuhnya warga PADAT dengan bantuan daripada penggiat budaya, ahli akademik, jabatan kerajaan dan badan bukan kerajaan yang berkaitan.

"Saya sangat menghargai inisiatif dan usaha murni PADAT dan semua yang membantu menghasilkan naskah yang sangat bermakna dan penuh dengan ilmu yang bermanfaat terutamanya kepada negeri Selangor," demikian titah ucapannya di Majlis Pelancaran Tujuh Buku Terbitan PADAT di Pustaka Tun Raja Uda, di sini, semalam.

Tengku Permaisuri Norashikin berkenan merasmikan buku Kebaya Selangor, Penyelidikan Terkini Nisan Aceh di Selangor, Sulaman Kelingkan Melayu, Permainan Wau Kapal, Kesenian Telepuk Warisan Melayu Selangor, Tarian Piring Selangor dan Warisan Telepuk Alam Melayu.

Sebagai usaha penyebaran dan pengembangan ilmu, Tengku Permaisuri Norashikin juga berkenan agar buku yang dilancarkan itu dapat dibaca bukan hanya masyarakat tempatan, malah pembaca di luar negara.

"Besar harapan saya agar kerjasama dapat dilakukan bersama agensi berkaitan agar koleksi buku ini bukan hanya ditempatkan di perpustakaan dalam negara, malahan dapat dipromosikan kepada perpustakaan di negara luar.

"Amat mendukacitakan sekiranya ilmu dan pengetahuan yang terkandung di dalam karya ini hanya tersimpan di rak sahaja tanpa dimanfaatkan oleh masyarakat," titahnya.

Selain itu, Tengku Permaisuri Norashikin juga berkenan agar PADAT dapat merancang agenda untuk merakyatkan budaya dan warisan yang dahulunya pernah popular di Selangor.

"Mengambil contoh seperti seni sulaman kelingkan yang dahulunya tidak asing lagi dalam kalangan kerabat diraja Selangor setelah diperkenalkan oleh Tengku Ampuan Jemaah dan legasi itu diteruskan pula oleh Tengku Ampuan Rahimah, kini ianya semakin jarang kelihatan.

"Saya berhasrat agar ada usaha untuk memugarkan kembali seni warisan dan tekstil ini dalam kalangan rakyat negeri Selangor.

"Saya juga menyeru agar ilmu yang diperoleh menerusi kajian ini dapat disebarkan kepada seluruh masyarakat sama ada melalui pameran, program mahupun aktiviti terutamanya kepada golongan muda di negeri ini.

"Paling utama elemen kebudayaan dan warisan Selangor yang dikenal pasti ini sewajarnya dapat diangkat dan dijadikan sebagai identiti negeri Selangor," titah Tengku Permaisuri Norashikin.

Baginda juga berharap agar usaha murni memartabatkan warisan bangsa turut digerakkan dan mendapat kerjasama kerajaan kegeri, jabatan kerajaan negeri dan persekutuan serta semua badan bukan kerajaan di Selangor.

Artikel ini disiarkan pada : Isnin, 8 Ogos 2022 @ 2:29 PM