WAN Rosdy memakaikan jubah Canselor KUIPSAS kepada Tengku Hassanal pada Istiadat Pemasyhuran Canselor dan Konvokesyen Ke-18 KUIPSAS, semalam.
WAN Rosdy memakaikan jubah Canselor KUIPSAS kepada Tengku Hassanal pada Istiadat Pemasyhuran Canselor dan Konvokesyen Ke-18 KUIPSAS, semalam.

KUANTAN: Pemangku Raja Pahang, Tengku Hassanal Ibrahim Alam Shah Al-Sultan Abdullah dimasyhurkan sebagai Canselor Kolej Universiti Islam Pahang Sultan Ahmad Shah (KUIPSAS) yang baharu pada Istiadat Pemasyhuran Canselor dan Konvokesyen Ke-18 KUIPSAS, di sini, semalam.

Baginda dimasyhurkan sebagai Canselor KUIPSAS kedua, menggantikan nenda baginda, Almarhum Paduka Ayahanda Sultan Ahmad Shah.

Istiadat pemasyhuran disempurnakan Menteri Besar, Datuk Seri Wan Rosdy Wan Ismail yang juga Pro Canselor KUIPSAS.

Tengku Hassanal Ibrahim ketika bertitah melahirkan rasa terharu dengan kepercayaan diberikan bagi menggalas tanggungjawab besar dan berjanji akan meneruskan hasrat serta kepemimpinan Almarhum Paduka Ayahanda yang ingin melihat KUIPSAS terus berkembang.

“Saya amat berbesar hati kerana dapat bersama semua hadirin pada Majlis Konvokesyen KUIPSAS yang bersejarah ini dan saya difahamkan dalam usia 23 tahun, KUIPSAS berjaya melahirkan lebih 5,000 orang graduan.

“Syabas kepada KUIPSAS dan teruskan (usaha) melahirkan graduan serta ilmuan holistik berupaya menyumbang kepada masyarakat,” titahnya.

Pada majlis itu, seramai 360 graduan menerima diploma dalam pelbagai bidang pengajian.

Baginda turut mengingatkan graduan supaya tidak cepat berpuas hati dan leka dengan kejayaan dicapai kerana perjalanan hidup masih jauh dan panjang.

“Graduan tidak harus merasa cukup dengan kejayaan diperoleh, namun perlu memastikan jati diri diperkukuh dengan pelbagai pengetahuan dan kemahiran yang relevan dengan tuntutan semasa seperti kemahiran berkomunikasi, kepimpinan tinggi serta bidang keusahawan.

“Selain itu, graduan juga perlu terus berbakti kepada KUIPSAS, termasuk membabitkan diri secara aktif sebagai alumni,” titahnya.

Baginda turut berharap semua graduan memberi sumbangan bagi memajukan dan membantu KUIPSAS terus maju serta mampu melahirkan graduan berkualiti.

Artikel ini disiarkan pada : Rabu, 4 September 2019 @ 5:20 AM