KEADAAN tenang di kediaman Muhyiddin Yassin di Bukit Damansara. FOTO Saifullizan Tamadi
KEADAAN tenang di kediaman Muhyiddin Yassin di Bukit Damansara. FOTO Saifullizan Tamadi
Noor Hidayah Tanzizi


Kuala Lumpur: Pemimpin Perikatan Nasional (PN) yang berkumpul di kediaman Pengerusi PN, Tan Sri Muhyiddin Yassin di Bukit Damansara, di sini, hari ini difahamkan sedang menunggu keputusan perbincangan Khas Raja-Raja Melayu susulan kemelut pembentukan kerajaan ketika ini.

Perkara dimaklumkan sumber kepada media yang menunggu di kawasan kediaman Muhyiddin bagi mendapatkan perkembangan lanjut berhubung kemelut pembentukan kerajaan ketika ini.

Sebelum itu, Timbalan Presiden Bersatu Datuk Seri Ahmad Faizal Azumu meraikan petugas media dengan kira-kira 30 pek nasi briyani untuk makanan tengah hari, hari ini.

Selain itu, dua khemah turut disediakan untuk media berteduh di kawasan itu hasil inisiatif Ketua Penerangan Armada Malaysia, Ashraf Mustaqim.

Bermula 9.25 pagi tadi, beberapa pemimpin parti gabungan itu termasuk Ahmad Faizal dilihat mula tiba di kediaman Muhyiddin dipercayai ada kaitan dengan kemelut pembentukan kerajaan.

Antara beberapa kenderaan yang membawa Ahli Majlis Pimpinan Tertinggi (MPT) Bersatu yang juga Bekas Ahli Parlimen Alor Gajah, Datuk Seri Mohd Redzuan Md Yusof dan Ketua Wanita PN Datuk Seri Rina Mohd Harun tiba di kediaman itu.

Selain itu kenderaan membawa Naib Presiden Pas yang juga Menteri Besar Terengganu, Datuk Seri Dr Ahmad Samsuri Mokhtar juga turut kelihatan

Istana Negara menganjurkan perbincangan Khas Raja-Raja Melayu susulan kemelut pembentukan kerajaan, hari ini.

Datuk Pengelola Bijaya Diraja Istana Negara, Datuk Seri Ahmad Fadli Shamsuddin dilaporkan berkata, Seri Paduka Baginda Yang di-Pertuan Agong, Al-Sultan Abdullah Ri'ayatuddin Al-Mustafa Billah Shah menitah perkenan untuk mengadakan perbincangan Khas Raja-Raja Melayu.

Kemelut pembentukan kerajaan masih belum terungkai berikutan tiada parti yang mendapat cukup majoriti selepas Pilihan Raya Umum 15 (PRU-15).

Artikel ini disiarkan pada : Khamis, 24 November 2022 @ 12:18 PM