Datuk Samsolbari Jamali
Datuk Samsolbari Jamali
Oleh Mohamed Farid Noh


Johor Bahru: Pucuk pimpinan UMNO harus bertanggungjawab atas kekalahan dalam Pilihan Raya Umum ke-15 (PRU15) sekali gus melakukan proses pembaikan bermula dari atas.

Setiausaha UMNO Johor, Datuk Samsolbari Jamali berkata, pucuk pimpinan parti juga perlu berlapang dada dan tawaduk dalam menerima realiti bahawa pembaikan di peringkat itu perlu dilakukan.

Katanya, UMNO Johor akur dengan keputusan pilihan rakyat dalam PRU15 kerana ia mencerminkan cita rasa dan aspirasi pengundi dalam pelbagai peringkat umur dan bangsa.

"UMNO dan Barisan Nasional (BN) tetap menjadi parti terbesar dalam segi struktur organisasi, pendukung dan jenteranya sejak sekian lama, namun ia masih gagal mempertahan keyakinan majoriti rakyat yang memilih.

"UMNO perlu bersyukur di atas sokongan yang diraih terutama ahli yang sedia ada. Lebih penting, UMNO harus menjunjung tinggi kepentingan ummah untuk masa mendatang dengan tekad memperjuang, mempertahan dan meningkatkan kesejahteraan ummah melebihi kepentingan parti dan individu.

"Ada keperluan bagi UMNO dan BN untuk menilai kembali kekuatan, kelemahan, potensi dan cabaran sebenar parti secara menyeluruh dan jujur dan tidak terperangkap dalam sindrom penafian.

"Pucuk pimpinan harus berlapang dada dan bertanggung jawab atas apa yang berlaku selain menerima realiti bahawa pembaikan perlu dibuat bermula dari pucuk pimpinan," katanya dalam kenyataan hari ini.

Dalam keputusan PRU15 yang diumumkan awal pagi tadi, BN dilaporkan hanya berjaya memperoleh 30 kerusi Parlimen, jumlah kerusi lebih rendah berbanding dicapai mereka pada PRU14.

Pada PRU14, UMNO dilaporkan menang di 54 kerusi Parlimen dan berdasarkan keputusan rasmi Suruhanjaya Pilihan Raya (SPR), beberapa kerusi yang dimenangi UMNO dalam PRU14 tewas dan beralih ke Perikatan Nasional (PN).

Dalam pada itu, suara menggesa Pengerusi BN, Datuk Seri Dr Ahmad Zahid Hamidi merangkap Presiden UMNO meletak jawatan semakin bergema di Johor.

Antara yang bersuara Timbalan Pengerusi BN Kulai, Mohd Jafni Md Shukor dan Ketua Pemuda UMNO Bahagian Pagoh, Mohamad Fazli Mohamad Salleh.

Mohd Jafni berkata, dengan penuh rasa hormat, beliau memohon supaya Ahmad Zahid meletakkan jawatan dengan kadar segera sebagaimana yang dilakukan oleh Datuk Seri Najib Razak pada 2018.

"Tindakan ini perlu dilakukan segera supaya ia menjadi langkah awal kita memulihkan parti UMNO yang kita cintai," katanya.

Mohamad Fazli pula berkata, UMNO perlukan perubahan segera dengan Presidennya yang juga Pengerusi BN perlu melepaskan jawatan sebagai tanda tanggungjawab serta langkah pertama perubahan parti seperti yang rakyat inginkan.

"UMNO dan BN tidak ketandusan pemimpin yang berwibawa untuk membawa parti ini mendepani cabaran di masa hadapan," katanya.

Artikel ini disiarkan pada : Ahad, 20 November 2022 @ 12:17 PM