KONSEP Keluarga Malaysia diperkenalkan Ismail Sabri  bersifat inklusif dan prihatin kepada semua lapisan masyarakat. FOTO Asyraf Hamzah
KONSEP Keluarga Malaysia diperkenalkan Ismail Sabri bersifat inklusif dan prihatin kepada semua lapisan masyarakat. FOTO Asyraf Hamzah
Ekhwan Haque Fazlul Haque


Melaka: Keputusan Pilihan Raya Negeri (PRN) Melaka yang berpihak kepada Barisan Nasional (BN) ternyata memberi petunjuk keyakinan kembali rakyat kepada gabungan itu untuk mentadbir.

Penganalisis politik, Prof Madya Dr Mohd Izani Mohd Zain berkata, rakyat yakin dengan kekuatan dan dasar diperkenalkan BN dalam usaha membawa Melaka menjadi sebuah negeri yang stabil dari pelbagai aspek pasca Covid-19.

Menurutnya, kejayaan BN membentuk kerajaan negeri dengan majoriti dua pertiga sesuatu di luar jangkaan.

Menurutnya, konsep Keluarga Malaysia diperkenalkan Perdana Menteri Datuk Seri Ismail Sabri Yaakob ternyata bersifat inklusif, kekeluargaan dan prihatin kepada semua lapisan masyarakat tanpa mengira perbezaan.

Beliau berkata, ini kerana semua parti utama yang bertanding memiliki kekuatan yang hampir sama dalam usaha membentuk kerajaan negeri.

"Kemenangan BN adalah mesej jelas rakyat mahu sebuah kerajaan yang stabil tanpa meneruskan polemik politik tidak stabil terus berpanjangan.

"BN membuktikan manifesto, dasar dalam Bajet 2022, Rancangan Malaysia ke-12 (RMK-12) meyakinkan rakyat yang sudah berpengalaman ditadbir Pakatan Harapan (PH) sebelum ini," katanya ketika dihubungi.

Tambahnya, BN perlu meneruskan momentum ini untuk mengembalikan keyakinan rakyat khususnya dalam membentuk kestabilan mentadbir negara.

"Sebuah kerajaan yang stabil mampu mengelak daripada sebarang kemungkinan berlaku sehingga mengheret rakyat dalam ketidaktentuan," katanya.

Tambahnya, kerajaan negeri diketuai Ketua Menteri Datuk Seri Sulaiman Md Ali juga perlu tampil dengan bajet negeri yang lebih menyeluruh dan boleh membantu meningkatkan semula ekonomi rakyat terjejas.

Katanya, bajet negeri juga perlu menyentuh segenap dan dirasai segenap lapisan masyarakat khususnya mereka yang terkesan akibat pandemik.

Pengundi mahu wakil rakyat berdedikasi, cekap, amanah

Pengundi di negeri ini meletakkan harapan tinggi terhadap wakil rakyat yang dipilih pada Pilihan Raya Negeri (PRN) Melaka kelmarin dan mahu mereka meneruskan tugas pemimpin terdahulu yang tertangguh.

Rata-rata pengundi yang ditemui inginkan wakil rakyat baharu yang mudah didekati, berdedikasi, cekap dan amanah serta mampu memberi perkhidmatan yang lebih baik.

Karim Johari Sharif, 68, berkata kini tidak timbul lagi kerajaan yang 'longgar' melalui keputusan dibuat oleh rakyat dan semua Ahli Dewan Undangan Negeri (Adun) dipilih harus bekerja keras untuk memulihkan ekonomi, selain memastikan infrastruktur dan kesihatan komuniti terpelihara.

"Pendekatan turun padang, meninjau dan mengatasi isu rakyat perlu diberi perhatian termasuk kebersihan bandar, pekan, kampung, taman perumahan, jaringan internet, kebajikan dan kemudahan penduduk diambil tindakan dengan serius.

"Ap pun, kami yakin dengan gabungan wakil rakyat muka baharu dan lama dalam kerajaan Barisan Nasional (BN) Melaka akan bekerja keras bagi memastikan mandat rakyat pelbagai kaum sentiasa diutamakan," katanya.

Bagi pemandu teksi, Hashim Hasan, 63, kemenangan besar itu sememangnya di luar jangkaan, namun yang pasti rakyat mengenang jasa dan sumbangan BN yang banyak menyumbang kepada pembangunan negara.

"Sokongan diterjemahkan itu juga menggambarkan rakyat mahukan trend kecemerlangan BN yang memimpin negara sejak puluhan tahun terus dilaksanakan di negeri ini," katanya.

Kamarudin Mamat, 54, pula berkata semua Adun yang terpilih diharap terus memberi keutamaan kepada kebajikan penduduk, termasuk mewujudkan peluang pekerjaan dan memberi galakan kepada penjanaan ekonomi, terutama kepada peniaga kecil dan generasi muda.

"Gambaran sokongan itu (PRN) menjelaskan keinginan rakyat untuk melihat Melaka tidak diganggu gugat dengan isu politik yang merimaskan," katanya.

Artikel ini disiarkan pada : Isnin, 22 November 2021 @ 10:44 AM