Calon Barisan Nasional Mohd Noor Helmy bercakap ketika temubual bersama kumpulan NSTP. FOTO ASYRAF HAMZAH
Calon Barisan Nasional Mohd Noor Helmy bercakap ketika temubual bersama kumpulan NSTP. FOTO ASYRAF HAMZAH
Ekhwan Haque Fazlul Haque


Melaka: Membangunkan komuniti penjaja dan peniaga kecil di Dewan Undangan Negeri (DUN) Duyong menjadi hasrat calon Barisan Nasional (BN), Mohd Noor Helmy Abdul Halem pada Pilihan Raya Negeri (PRN) kali ini.

Katanya, penjaja dan peniaga kecil adalah antara kumpulan penting dalam membina ekonomi negara dan yakin inisiatif itu mampu melonjakkan ekonomi masyarakat setempat.

"Masyarakat setempat di DUN Duyong terkesan dengan pandemik COVID-19 sehingga mereka mencari alternatif lain untuk menyara kehidupan.

"Lonjakan ekonomi setempat ini juga memberi peluang kepada golongan muda di Duyong untuk menerokai cabang baharu dan meningkatkan taraf kehidupan pasca pandemik.

"Berniaga kecil-kecilan antara usaha penduduk meneruskan kehidupan, malah ia antara punca pendapatan mudah. Rancangan 'membandarayakan' penjaja ini adalah usaha membantu mereka untuk meningkatkan pendapatan bertaraf bandar raya," katanya ketika ditemui.

Mengatasi masalah banjir juga menjadi fokus utama Mohd Noor Helmy kerana ia dilihat masalah serius yang menghantui kehidupan penduduk sejak sekian lama.

"Dalam tempoh enam bulan, lebih 1,000 rumah terjejas akibat banjir dan masalah ini perlu diselesaikan secepat mungkin.

"BN komited menyelesaikan masalah ini menerusi pengumuman manifesto baru-baru ini dengan peruntukan lebih RM900 juta.

"Saluran longkang akan diperbesarkan dan lokasi 'panas' kejadian banjir sudah dikenal pasti untuk ditambah baik supaya masalah ini selesai secepat mungkin," katanya.

Beliau berkata, BN akan memastikan manifesto yang dilaksanakan bukan sekadar cakap-cakap politik kerana semua calon komited memberikan khidmat terbaik kepada masyarakat.

Berita Berkaitan:

Artikel ini disiarkan pada : Rabu, 17 November 2021 @ 12:15 PM