ANGGOTA APM melakukan operasi untuk memindahkan mangsa banjir di daerah Kuala Muda. FOTO Ihsan APM
ANGGOTA APM melakukan operasi untuk memindahkan mangsa banjir di daerah Kuala Muda. FOTO Ihsan APM
Zuliaty Zulkiffli


Alor Setar: Tiga pusat pemindahan sementara (PPS) dibuka di Kuala Muda bagi menempatkan 162 mangsa dari 39 keluarga berikutan banjir kilat yang melanda daerah itu, semalam.

Ini berikutan air setinggi 0.3 meter (m) hingga satu m, susulan hujan lebat.

Ketua Bahagian Sekretariat Jawatankuasa Pengurusan Bencana Angkatan Pertahanan Awam Malaysia (APM) Kedah, Mejar (PA) Mohd Muaz Mohd Yusof berkata, antara PPS yang dibuka setakat ini adalah PPS Dewan Kampung Bukit Belah di Batu 2, PPS Surau Taman Kenari dan PPS Masjid AL Huda di Kampung Jerung.

"PPS Dewan Kampung Batu Belah dibuka pada 11.32 malam yang menempatkan 18 mangsa daripada tujuh keluarga.

"PPS Surau Taman Kenari (13 mangsa daripada 7 keluarga) dibuka pada jam 1.30 pagi tadi dan PPS Masjid Al Huda (25 keluarga yang meliputi 131 mangsa) dibuka pada 12.30 tengah malam tadi," katanya ketika dihubungi, hari ini.

Beliau berkata, hujan lebat lebih tiga jam di daerah Kuala Muda turut mengakibatkan banjir di beberapa mukim, kampung dan taman perumahan

"Sebanyak empat mukim di daerah itu dinaiki air membabitkan 15 kampung dan dua kawasan perumahan yang menyebabkan 291 keluarga terjejas dinaiki air," katanya.

Sementara itu, di daerah Yan, tiada PPS dibuka setakat ini.

Media semalam melaporkan hujan lebat sekitar Gunung Jerai sejak petang tadi, menyebabkan beberapa kawasan di daerah ini dilapor mengalami banjir malam ini.

Antara kawasan yang terjejas adalah perkampungan sekitar Titi Hayun dan Batu Hampar, selain pekan Yan turut dinaiki air antara 0.5 hingga 0.7 m.

Artikel ini disiarkan pada : Khamis, 21 Oktober 2021 @ 8:35 AM