ANGGOTA bomba memadam kebakaran membabitkan sebuah jentera pengorek dalam kejadian letupan SSGP di Long Ugui. FOTO ihsan bomba
ANGGOTA bomba memadam kebakaran membabitkan sebuah jentera pengorek dalam kejadian letupan SSGP di Long Ugui. FOTO ihsan bomba
Melvin Joni


Lawas: Seorang maut manakala dua lagi cedera dalam kejadian letupan saluran Paip Gas Sabah Sarawak (SSGP) milik Petronas di Long Ugui, di sini, hari ini.

Jurucakap Pusat Gerakan Operasi Bomba Sarawak berkata, pihaknya menerima laporan mengenai kejadian jam 2.49 petang, dan segera mengerahkan pasukan dari Balai Bomba dan Penyelamat (BBP) Lawas ke lokasi.

Katanya, setakat ini, identiti mangsa yang meninggal dunia hanya dikenal pasti sebagai Hadi Wiyono manakala mangsa yang cedera dikenali sebagai Hendrick dan Gabriel Meripa.

"Kejadian membabitkan tiga mangsa, dengan seorang disahkan meninggal dunia semasa berada dalam sebuah jentera pengorek manakala dua mangsa melecur di beberapa anggota badan," katanya dalam kenyataan.

Beliau berkata, keluasan kebakaran dan letupan dianggarkan pada jarak radius 400 meter dengan membabitkan dua jentera berat serta sebuah lori.

Katanya, pasukan bomba mengalami kesukaran ke lokasi kerana laluan ke tempat kejadian tidak dapat dilalui oleh jentera.

Justeru, katanya perjalanan ke lokasi hanya menggunakan pikap untuk membawa peralatan operasi.

Katanya, setakat ini kejadian masih dalam siasatan lanjut.


Artikel ini disiarkan pada : Rabu, 16 November 2022 @ 8:57 PM