ANGGOTA Bomba melakukan siasatan di lokasi kejadian.
ANGGOTA Bomba melakukan siasatan di lokasi kejadian.
Hafidzul Hilmi Mohd Noor


Kuala Lumpur: Dua rentung manakala dua lagi melecur dalam kebakaran rumah di Taman Gembira, Seputeh, di sini, hari ini.

Timbalan Pengarah Jabatan Bomba dan Penyelamat (JBPM) Kuala Lumpur, Rozihan Anwar Mamat berkata, pihaknya menerima panggilan berhubung kejadian itu pada 6.22 pagi.

"Susulan itu, empat jentera dari Balai Bomba dan Penyelamat (BBP) Seputeh, BBP Pantai, BBP Sri Petaling dan BBP Hang Tuah dikejarkan ke lokasi kejadian.

"Kebakaran berjaya dikawal pada 6.54 pgi dan padam sepenuhnya pada 7.12 pagi. Kami juga berjaya menemui dua mangsa yang rentung," katanya ketika ditemui di lokasi kejadian, hari ini.

Menurutnya, kediaman berkenaan adalah banglo tiga tingkat yang dihuni enam sekeluarga.

"Mangsa yang rentung dipercayai ibu berusia 61 tahun dan anak yang berusia 27 tahun. Kedua-dua mereka berada di bilik berasingan.

"Kita percaya api bermula dari tingkat tiga kediaman terbabit sebelum merebak ke tingkat bawah," katanya.

Katanya, mayat kedua-dua mangsa diserahkan kepada polis untuk tindakan lanjut manakala dua lagi mangsa yang melecur dihantar ke hospital untuk menerima rawatan.

"Siasatan lanjut berhubung punca dan jumlah kerugian sedang dijalankan," katanya.


Artikel ini disiarkan pada : Ahad, 26 Jun 2022 @ 12:33 PM