ANGGOTA bomba memadam kebakaran membabitkan Saluran Gas Sabah Sarawak milik Petronas di Long Ugui, Lawas. FOTO Arkib NSTP
ANGGOTA bomba memadam kebakaran membabitkan Saluran Gas Sabah Sarawak milik Petronas di Long Ugui, Lawas. FOTO Arkib NSTP
Izwan Abdullah


Kota Kinabalu: Petroliam Nasional Berhad (Petronas) mengesahkan berlaku insiden kebakaran membabitkan Saluran Paip Gas Sabah-Sarawak (SSGP) berhampiran KP132 di Lawas, Sarawak, tengah hari semalam.

Dalam satu kenyataan malam tadi, syarikat itu berkata, insiden dipercayai berpunca daripada kerja-kerja yang dijalankan oleh pihak ketiga berdekatan kawasan izin lalu (Right-of-Way) SSGP.

Bagaimanapun, menurut syarikat itu, kerja-kerja berkenaan tiada kaitan dengan operasi saluran paip terbabit.

"Laporan polis juga sudah dibuat dan siasatan menyeluruh akan dilaksanakan," kata syarikat itu dalam kenyataan berkenaan.

Pada masa yang sama, katanya, Petronas turut menggerakkan Pasukan Bertindak Kecemasan ke kawasan insiden dan sedang bekerjasama dengan pihak berkuasa tempatan dalam mengawal situasi serta memastikan keselamatan komuniti dan kawasan sekitar.

Semalam, Jabatan Bomba dan Penyelamat Malaysia (JBPM) Sarawak mengesahkan seorang maut manakala dua lagi cedera dalam kejadian letupan saluran SSGP milik Petronas di Long Ugui, Lawas.

Jurucakap Pusat Gerakan Operasi Bomba Sarawak berkata, pihaknya menerima laporan mengenai kejadian itu pada jam 2.49 petang, dan segera mengerahkan pasukan dari Balai Bomba dan Penyelamat (BBP) Lawas ke lokasi.

Letupan dan kebakaran dalam insiden itu dianggar berlaku pada jarak radius sekitar 400 meter membabitkan dua jentera berat serta sebuah lori.

Artikel ini disiarkan pada : Khamis, 17 November 2022 @ 9:40 AM