BERNAMA

Miri: Jabatan Kerja Raya (JKR) Sarawak akan bekerjasama dengan pihak berkuasa dalam membantu siasatan insiden kebakaran saluran Paip Gas Sabah Sarawak (SSGP) Petronas di kawasan Berikau, Lawas semalam.

JKR Sarawak menerusi satu kenyataan hari ini juga mengesahkan insiden kebakaran semalam berlaku berdekatan laluan pembinaan projek Sarawak-Sabah Link Road (SSLR).

"Punca sebenar insiden kebakaran itu masih dalam siasatan.

"Pihak kontraktor telah segera diarahkan untuk memberhentikan kesemua kerja-kerja site clearing dan kerja-kerja tanah sementara siasatan dilakukan," menurut kenyataan itu.

Jurucakap Pusat Gerakan Operasi (PGO) Bomba Sarawak memaklumkan seorang maut manakala dua lagi cedera dalam insiden yang berlaku pada lewat tengah hari semalam.

Petronas dalam satu kenyataan semalam memaklumkan insiden kebakaran melibatkan saluran SSGP Petronas itu dipercayai berpunca daripada kerja-kerja dijalankan pihak ketiga berdekatan kawasan berkenaan.

Menurut Petronas, kerja-kerja yang dijalankan pihak ketiga itu juga tiada kaitan dengan operasi saluran paip tersebut dan satu laporan polis telah dibuat mengenai insiden terbabit.

Artikel ini disiarkan pada : Khamis, 17 November 2022 @ 12:13 PM