GAMBAR hiasan
GAMBAR hiasan
Muhaamad Hafis Nawawi


Ampang Jaya: Hanya kerana dijeling, seorang lelaki tergamak membaling dua baldi ke arah adiknya selain menampar dan menjirus air teh suam di seluruh badan neneknya di Kampung Tasik Tambahan, di sini, kelmarin.

Ketua Polis Daerah Ampang Jaya Asisten Komisioner Mohamad Farouk Eshak berkata, dalam kejadian jam 9.30 malam, adik perempuan berusia 23 tahun ketika itu berada di rumah melihat abangnya, 25, pulang dalam keadaan marah.

Menurutnya, suspek bertindak membaling baldi dan kena pada bahagian belakang badan mangsa.

"Suspek juga menampar dan menjirus air teh suam pada seluruh badan neneknya berusia 64 tahun.

"Mangsa mengalami kecederaan tisu bahu manakala neneknya cedera di pipi di mana kedua-kedua mangsa mendapat rawatan di Hospital Ampang," katanya dalam kenyataan malam ini.

Mohamad Farouk berkata, susulan itu, sepasukan polis menahan suspek yang bekerja sebagai pengawal keselamatan jam 8.26 semalam.

"Punca kejadian kerana adiknya menjeling ke arah suspek semasa pulang rumah.

"Turut dirampas dua baldi yang digunakan semasa kejadian," katanya.

Beliau berkata, suspek juga mempunyai sifat panas baran yang akan mengamuk apabila tidak mendapat wang yang diminta.

"Suspek masih mempunyai kedua ibu bapa namun sudah lama bercerai dan tidak pernah berjumpa dengan bapa kandungnya.

"Suspek direman empat hari bagi membantu siasatan mengikut Seksyen 323/506 Kanun Keseksaan kerana dengan sengaja mendatangkan kecederaan dan membuat ugutan sehingga mendatangkan ketakutan," katanya.

Artikel ini disiarkan pada : Khamis, 30 Jun 2022 @ 10:59 PM