GAMBAR hiasan
GAMBAR hiasan
Norzamira Che Noh

Klang: Seorang pemandu lori warga tempatan ditahan selepas dipercayai memukul dua anak lelaki kembar yang berusia 11 tahun dengan menampar serta menumbuk di bahagian muka serta badan dalam kejadian di Taman Sentosa dekat sini pada 20 September lalu.

Lelaki berusia 44 tahun itu ditahan pada 7.30 malam tadi oleh sepasukan polis dari Cawangan Kereta Peronda, Ibu Pejabat Polis (IPD) Klang Selatan.

Ketua Polis Klang Selatan, Asisten Komisioner Cha Hoong Fong berkata, hasil siasatan mendapati bahawa suspek yang juga bapa kepada lima orang anak itu seorang yang panas baran dan sering memukul kedua-dua anak kembarnya sebelum ini.

"Terdapat kesan kecederaan lama ditemui di badan kedua-dua mangsa akibat dipukul oleh suspek, namun tiada sebarang rawatan atau laporan polis dibuat berkenaan kejadian tersebut sebelum ini.

"Motif kejadian dipercayai berpunca daripada tindakan mangsa yang didakwa sering keluar merayau dan pulang lewat ke rumah," katanya dalam kenyataan hari ini.

Beliau berkata, hasil semakan juga mendapati, suspek mempunyai tiga rekod lampau atas kesalahan jenayah dan dadah.

Katanya, Bahagian Siasatan Jenayah, IPD Klang Selatan sudah membuka kertas siasatan mengikut Seksyen 31(1)(a) Akta Kanak-Kanak 2001 bagi kesalahan penderaan terhadap kanak- kanak.

"Suspek direman selama empat hari bermula hari ini hingga Jumaat. Siasatan lanjut masih diteruskan oleh pihak polis dan kertas siasatan akan dilengkapkan dengan kadar yang segera.

"Selain itu, pihak polis turut menasihatkan orang awam supaya tidak bertindak di luar batas undang-undang dalam menyelesaikan apa-apa masalah kerana tindakan tegas akan diambil kepada mereka yang berbuat demikian," katanya.

Artikel ini disiarkan pada : Selasa, 27 September 2022 @ 5:12 PM