GAMBAR hiasan. FOTO BERNAMA
GAMBAR hiasan. FOTO BERNAMA
BERNAMA

Melaka: Istilah 'cah keting' atau sabotaj dari dalam parti sendiri sentiasa menjadi igauan ngeri bagi calon import kerana mereka dilihat seolah-olah cuba menidakkan keputusan parti di peringkat bahagian yang menetapkan individu tertentu bertanding di sesebuah kawasan pilihan raya.

Malah calon import ini sering diibaratkan sudah dibentangkan 'permaidani merah' apabila menerima laluan mudah untuk bertanding di kerusi ditetapkan pucuk pimpinan parti sedangkan kerja menambat hati pengundi dilakukan sejak sekian lama oleh jentera parti di peringkat akar umbi.

Tidak dinafikan, isu ini sering menjadi topik perbahasan hangat dalam kalangan rakyat setiap kali pilihan raya umum diadakan.

Pastinya akan timbul pelbagai persepsi positif mahupun negatif melatari isu calon import ini namun akhirnya, ia bergantung kepada kebijaksanaan calon itu sendiri dalam mententeramkan 'ribut' yang mungkin berlaku di sesuatu bahagian.

Di Melaka, terdapat tiga calon import bertanding pada Pilihan Raya Umum ke-15 (PRU15) ini, iaitu calon Pakatan Harapan (PH) Parlimen Masjid Tanah Mutalib Uthman (PH-MUDA), calon Barisan Nasional (BN) Parlimen Alor Gajah Shahril Sufian Hamdan (BN-UMNO) dan calon PH Parlimen Hang Tuah Jaya Adam Adli Abd Halim (PH-PKR).

Menurut pemangku Ketua UMNO Bahagian Alor Gajah Datuk Rospandi Leman, ia perkara biasa dalam mana-mana pilihan raya apabila pucuk pimpinan menukar calon pada saat akhir termasuklah menggunakan calon import jika melihat potensi boleh menang mereka di kawasan ditandingi.

Pengerusi BN Parlimen Alor Gajah itu berkata bagaimanapun calon import perlu merendah diri dan sedar mereka merupakan 'pendatang baharu' di kawasan tersebut.

"Maklumlah kita ni orang Melayu, ada budi bahasa. Kadang-kadang hutan rimba kita ratakan tiba-tiba orang lain buat istana. Datang nampak depan pulang nampak belakang," katanya.

Sementara itu, Shahril Sufian berkata pencalonannya adalah milik parti dan beliau bukannya bertanding sebagai individu.

"Sebenarnya yang paling mustahak adalah kesediaan rakyat di (Parlimen) Alor Gajah untuk kembali memilih BN sebagai wakil mereka di Parlimen.

"Kita lihat setelah Pilihan Raya Negeri (PRN) Melaka, apa bezanya apabila Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) itu adalah ADUN yang berkhidmat, apa bezanya apabila kerajaan negeri itu ditadbir oleh BN, saya nampak ini membawa kepada satu kemahuan untuk (rakyat) Parlimen itu sendiri kembali kepada BN," katanya.

Bagi Mutalib, rakan komponen PH amat membantu beliau dalam melaksanakan kempen di Parlimen Masjid Tanah memandangkan MUDA tidak mempunyai jentera yang banyak seperti parti-parti lain.

"Setiap Dewan Undangan Negeri (DUN) memang kita minta rakan komponen kami untuk tolong. Contohnya baru-baru ini rakan kami dari DAP mengadakan satu ceramah dengan menampilkan veteran parti itu, Lim Kit Siang di Kampung Paya Mengkuang.

"Boleh bayangkan walaupun ceramah kita tak besar, tapi mereka boleh bawa turun Lim, itu yang saya rasa rakan-rakan dalam PH membantu kitalah," katanya.

Artikel ini disiarkan pada : Selasa, 15 November 2022 @ 1:24 PM