Noorazura Abdul Rahman

Baling: Lebih 70 kawasan tebing Sungai Kupang dikesan mengalami hakisan yang sebahagiannya berisiko menjejaskan kira-kira 1,400 buah rumah di jajaran sungai berkenaan.

Penyandang yang juga calon Barisan Nasional (BN) kerusi Parlimen Baling, Datuk Seri Abdul Azeez Abdul Rahim, berkata jumlah itu sangat membimbangkan kerana terdapat hakisan yang hampir dengan rumah penduduk terutama selepas tragedi bencana banjir puing pada 4 Julai lalu.

"Hakisan ini berdasarkan tinjauan saya di seluruh daerah Baling sebelum ini, ada hakisan yang kecil, ada hakisan yang besar, terdapat juga jambatan-jambatan kecil di kawasan kampung yang tebingnya berlaku hakisan sedikit demi sedikit.

"Ada juga hakisan tebing di kawasan taman perumahan, projek tebatan banjir yang sepatutnya dilaksanakan selepas Pilihan Raya Umum ke-14 (PRU-14) tidak diteruskan oleh kerajaan Pakatan Harapan (PH) yang memerintah sebelum ini, saya tak tahu sebab apa, " katanya ketika ditemui ketika meninjau lokasi hakisan tebing Sungai Kupang di Taman Mesra Ria, di Kupang di sini, hari ini.

Sebelum ini, dilaporkan projek tebatan banjir bernilai RM200 juta di Baling akan bermula seawal Januari depan selepas mendapat kelulusan Kementerian Kewangan dalam pembentangan Bajet 2023 Oktober lalu.

Abdul Azeez berkata pihaknya sangat berharap projek itu akan diteruskan kerajaan yang akan diberi mandat selepas PRU-15 mengikut jadual demi keselamatan kira-kira 10,000 penduduk Baling yang tinggal berdekatan Sungai Kupang.

Sementara itu, penduduk Taman Mesra Ria, Zamri Ahmad, 50, berkata hakisan tebing Sungai Kupang berhampiran rumah mereka berlaku sejak 2014 namun ia semakin ketara selepas kejadian banjir puing 4 Julai lalu.

"Tebing ini sudah terhakis lebih lima meter, kini ia semakin hampir dengan rumah penduduk, banjir pada 4 Julai lalu menyebabkan air melimpah ke rumah penduduk hingga paras satu meter.

"Sekarang kira-kira 300 penduduk di sini hidup dalam ketakutan, bimbang rumah dinaiki air dan tebing runtuh, kami rasa tidak selamat tinggal di sini, "katanya.

Lokman Awang Kechil, 53, berkata pihaknya sangat berharap parti yang bakal membentuk kerajaan selepas ini dapat mengutamakan projek tebatan banjir di kawasan perumahan itu.

"Ramai kanak-kanak yang suka bermain di sini, kawasan ini sangat bahaya, ia semakin menghampiri rumah penduduk yang tidak sampai 10 meter.

"Selesaikan masalah rakyat dengan segera, kita tidak mahu lagi berlaku kemalangan jiwa seperti sebelum ini. Semua orang berhak berasa selamat di tempat tinggal masing-masing," katanya yang juga seorang pesara tentera.

Artikel ini disiarkan pada : Jumaat, 18 November 2022 @ 5:23 PM