Menteri Alam Sekitar dan Air, Datuk Seri Tuan Ibrahim Tuan Man.
Menteri Alam Sekitar dan Air, Datuk Seri Tuan Ibrahim Tuan Man.
Irwan Shafrizan Ismail


Kuala Lumpur: Kementerian Alam Sekitar dan Air (Kasa) akan melaksanakan empat projek dalam kadar segera susulan tragedi banjir di Baling, Kedah.

Menterinya, Datuk Seri Tuan Ibrahim Tuan Man berkata, projek membabitkan Rancangan Tebatan Banjir (RTB) Baling Fasa 1 dengan kos RM15 juta dan RTB Baling Fasa 2 dengan kos RM160 juta

"Selain itu pembinaan struktur sabo untuk mengurangkan risiko aliran debris dengan kos RM22 juta, serta projek-projek kecil yang perlu disegerakan.

"Ia seperti mendalamkan sungai, membina benteng sungai, pembaikan jambatan, denai sungai yang dijangka bernilai RM6 juta," katanya dalam kenyataan hari ini.

Tragedi banjir dan kepala air di Sungai Lata Celak, Kampung Iboi di Baling kelmarin mengorbankan tiga nyawa.

Mengulas mengenai banjir itu, Tuan Ibrahim berkata, ia berlaku susulan hujan berterusan selama tiga jam bermula 3 petang, Isnin lalu dengan bacaan aras hujan di stesen Jabatan Pengairan dan Saliran (JPS) Felda Teloi Kanan ialah 64 milimeter (mm), manakala stesen Kampung Sedim dan Kampung Iboi melebihi 40 mm.

"Bagaimanapun data satelit Jabatan Meteorologi Malaysia menunjukkan taburan hujan lebih sekali ganda di Gunung Inas iaitu huluan Sungai Tiak dan Sungai Kupang. Hujan lebat itu melebihi keupayaan menampung air di huluan sehingga berlaku banjir kilat," katanya.

Beliau berkata, susulan kejadian Ketua Setiausaha Kasa bersama Ketua Pengarah JPS diarah melawat lokasi kejadian semalam untuk menilai kesan banjir dan merangka pelan mitigasi.

"Perlu juga dimaklumkan bahawa kawasan hulu bencana banjir terdapat aktiviti guna tanah di mana hujan lebat sehingga berlakunya aliran debris atau kepala air.

"Kedalaman air banjir kilat itu yang direkodkan pada jam 6 petang adalah 0.2 hingga 3 meter di Kampung Iboi, Kampung Padang Lengkuas, Kampung Bukit Hangus, Kampung Pisang dan Pekan Kupang (banjir hanya berlaku selama antara dua hingga enam jam)," katanya.

Artikel ini disiarkan pada : Rabu, 6 Julai 2022 @ 4:43 PM