SEORANG lelaki berada di bumbung rumah dipercayai cuba terjun. FOTO ihsan bomba
SEORANG lelaki berada di bumbung rumah dipercayai cuba terjun. FOTO ihsan bomba
Nurul Hidayah Bahaudin


Ampang: Tindakan pantas anggota bomba dan penyelamat menggagalkan cubaan seorang lelaki terjun dari bumbung tingkat dua rumahnya di Taman Lembah Maju, di sini, hari ini.

Pengarah Jabatan Bomba dan Penyelamat Malaysia (JBPM) Selangor, Norazam Khamis berkata, pihaknya menerima panggilan kecemasan berhubung kejadian itu jam 1.17 tengah hari tadi.

"Seramai tujuh anggota bersama dua jentera dari Balai Bomba dan Penyelamat (BBP) Pandan Indah dikejarkan ke lokasi kejadian.

"Sebaik tiba, kami mendapati lelaki berusia 28 tahun berkenaan berada di bumbung tingkat dua rumah," katanya dalam kenyataan, hari ini.

Norazam berkata, pihaknya mengambil masa beberapa minit untuk memujuk lelaki terbabit sebelum dia berjaya diselamatkan anggota bomba bertugas.

"Lelaki berkenaan kemudian diserahkan kepada polis untuk tindakan lanjut," katanya.

Artikel ini disiarkan pada : Jumaat, 11 November 2022 @ 6:16 PM