WANITA dan cucu perempuannya yang diselamatkan bomba. FOTO Ihsan Bomba
WANITA dan cucu perempuannya yang diselamatkan bomba. FOTO Ihsan Bomba
Nurul Hidayah Bahaudin


Ampang: Baru diuji dengan kehilangan suami, seorang wanita sekali lagi menempuh dugaan berat apabila rumahnya di Taman Ampang Jaya, di sini, terbakar, awal pagi hari ini.

Dalam kejadian kira-kira 3 pagi itu, wanita berusia 64 tahun berkenaan dan cucu perempuannya, 16, tidak mengalami sebarang kecederaan selepas berjaya diselamatkan bomba.

Pengarah Jabatan Bomba dan Penyelamat Malaysia (JBPM) Selangor Norazam Khamis berkata, pihaknya menerima panggilan kecemasan berhubung kejadian itu, jam 3.55 pagi.

"Seramai 23 pegawai dan anggota bersama dua jentera dari Balai Bomba dan Penyelamat (BBP) Ampang dan BBP Pandan dikejarkan ke lokasi.

"Sebaik tiba di lokasi, kami dapati berlaku kebakaran membabitkan sebuah rumah satu tingkat yang terbakar di bahagian hadapan," katanya dalam kenyataan, hari ini.

Norazam berkata, pihaknya berjaya menyelamatkan kedua-dua mangsa yang tinggal berdua di dalam rumah berkenaan.

Difahamkan, suami wanita berkenaan dikatakan meninggal dunia, baru-baru ini.

"Kebakaran itu mengakibatkan rumah berkenaan musnah kira-kira 20 peratus di bahagian hadapan.

"Api berjaya dikawal 4.21 pagi tadi dan punca kejadian masih dalam siasatan," katanya.

Artikel ini disiarkan pada : Isnin, 9 Ogos 2021 @ 8:39 AM