KESAN kebakaran berkenaan. FOTO Ihsan Bomba
KESAN kebakaran berkenaan. FOTO Ihsan Bomba
Nurul Hidayah Bahaudin


Kajang: Tindakan pantas pihak bomba berjaya menyelamatkan seorang lelaki yang mengalami sesak nafas di dalam rumahnya di Taman Desa Karunmas, di sini, yang terbakar, awal pagi hari ini.

Pengarah Jabatan Bomba dan Penyelamat Malaysia (JBPM) Selangor Norazam Khamis berkata, pihaknya menerima panggilan kecemasan berhubung kejadian itu jam 4.23 pagi.

"Sepasukan anggota bersama jentera dari Balai Bomba dan Penyelamat (BBP) Lapangan Terbang Antarabangsa Kuala Lumpur (KLIA) dikejarkan ke lokasi.

"Sebaik tiba, kami dimaklumkan mengenai sebuah rumah teres dua tingkat yang terbakar di bahagian ruang tamu," katanya dalam kenyataan, hari ini.

Norazam berkata, ketika mereka tiba, kebakaran itu sudah dipadamkan.

"Dalam kejadian itu, terdapat dua mangsa lelaki, masing-masing berusia 50-an. Seorang daripada mereka ditemui di dalam bilik tidur di tingkat satu rumah berkenaan.

"Ketika ditemui, lelaki itu mengalami sesak nafas serta sedikit melecur di bahagian kaki. Seorang lagi mangsa pula berjaya menyelamatkan diri sebelum pihak bomba tiba di lokasi," katanya.

Katanya, mangsa yang cedera diserahkan kepada pihak Kementerian Kesihatan Malaysia untuk rawatan lanjut.

Artikel ini disiarkan pada : Isnin, 18 Oktober 2021 @ 8:43 AM