ANGGOTA bomba melakukan pemeriksaan di lokasi kejadi. FOTO Ihsan Bomba
ANGGOTA bomba melakukan pemeriksaan di lokasi kejadi. FOTO Ihsan Bomba
Nurul Hidayah Bahaudin


Ampang: Tiga individu pengsan selepas terhidu gas bahan kimia yang bocor dalam sebuah restoran makanan segera di Jalan Pandan 2/1, Pandan Jaya, di sini, hari ini.

Pengarah Jabatan Bomba dan Penyelamat Malaysia (JBPM) Selangor Norazam Khamis berkata, pihaknya menerima panggilan kecemasan berhubung kejadian itu jam 9.55 pagi tadi.

"Seramai 13 anggota bersama tiga jentera termasuk daripada Unit Bahan Kimia Berbahaya (HAZMAT) dari Balai Bomba dan Penyelamat (BBP) Pandan, BBP Shah Alam dan BBP Tun Razak dikejarkan ke lokasi kejadian.

"Dalam kejadian itu, tiga individu dilaporkan pengsan iaitu dua pekerja wanita restoran makanan segera berkenaan serta seorang pegawai lelaki Kementerian Kesihatan Malaysia (KKM) yang masuk ke dalam premis terbabit bagi membantu mangsa," katanya dalam kenyataan, hari ini.

Norazam berkata, pihak bomba sedang mengawal keadaan dengan tidak membenarkan mana-mana individu memasuki premis berkenaan.

"Tiga mangsa yang pengsan dikejarkan ke hospital bagi mendapatkan rawatan lanjut. Identiti mereka masih belum dapat dipastikan. Punca kejadian masih dalam siasatan," katanya.

Artikel ini disiarkan pada : Isnin, 10 Oktober 2022 @ 12:10 PM