TERMINAL Bersepadu Selatan, Kuala Lumpur. FOTO Bernama.
TERMINAL Bersepadu Selatan, Kuala Lumpur. FOTO Bernama.
Mahaizura Abd Malik


Kuala Lumpur: Penjualan tiket pengangkutan awam terutama bas ekspres laris seperti pisang goreng panas apabila sebahagian besar rakyat Malaysia memilih kenderaan itu untuk pulang mengundi, minggu depan.

Bagi penuntut Universiti Malaya (UM), Asyraf Zikri Mohd Nasir, 22, dia membeli tiket bas lebih awal untuk pulang ke Ipoh, Perak bermula 17 November ini.

"Saya beli tiket minggu lalu kerana bimbang, kalau lambat nanti tiket habis, memandangkan ramai orang akan pulang balik kampung untuk mengundi.

"Sebenarnya ini kali pertama saya akan mengundi, jadi saya tidak mahu ketinggalan menunaikan tanggungjawab kerana undian kita yang akan mencorakkan masa depan kita nanti.

"Selain itu, saya juga tidak sabar bertemu keluarga kerana sudah lama tidak pulang ke kampung," katanya kepada Harian Metro.

Muhammad Farhanshah Shaheezam Mazhar, 22, pula berkata, dia akan pulang ke kampung halaman di Hulu Langat, Selangor untuk menunaikan tanggungjawab mengundi buat pertama kali.

Penuntut itu memilih menaiki Perkhidmatan Tren Elektrik (ETS) dari Arau, Perlis ke Kuala Lumpur (KL) Sentral dan berlepas pada hari mengundi, 19 November ini.

"Tiket memang laku keras, walaupun saya beli tiket awal iaitu 29 Oktober lalu tetapi tiket yang masih ada hanya tinggal tarikh mengundi iaitu 19 November saja.

"Mungkin kerana ramai pengguna di sini termasuk pelajar universiti dan institusi pengajian tinggi (IPT) lain menggunakan tren, memandangkan satu-satunya yang ada di Arau adalah Stesen Keretapi Tanah Melayu Berhad (KTMB).

"Saya lega walaupun dapat tiket pada hari mengundi, saya dapat balik juga dan menunaikan tanggungjawab terhadap negara," katanya.

Sementara itu, Pengarah Urusan Maju Tmas Sdn Bhd, Datuk Roslan Shariff berkata, pihaknya menyediakan 270,000 tiket bagi perjalanan dua hala selama enam hari bermula 16 November ini bagi memudahkan penumpang pulang ke kampung sempena Pilihan Raya Umum ke-15 (PRU-15).

"Setakat ini, sebanyak 91 peratus tiket bas sudah terjual untuk tarikh perjalanan dari 16 hingga 19 November ini.

"Kebanyakan perjalanan bermula dari Terminal Bersepadu Selatan (TBS) ke destinasi bandar utama seperti Pulau Pinang, Butterworth, Alor Setar, Sungai Petani, Kulim, Melaka, Ipoh, Kota Bharu, Gua Musang, Kuala Terengganu, Kuantan, Batu Pahat dan Muar," katanya.

Katanya, pihaknya juga menganggarkan pertambahan mendadak sebanyak 47 peratus dengan purata 22,000 penumpang akan menggunakan bas setiap hari sepanjang musim pengundian.

"Kita menganggarkan 40 hingga 50 sehari trip tambahan bermula 17 hingga 21 November membabitkan bas yang menggunakan lesen Laluan Perubahan Sementara (LPS) diluluskan Agensi Pengangkutan Awam Darat (APAD).

"Orang ramai dinasihatkan membeli tiket bas lebih awal dan secara atas talian bagi mengelak kesesakan dan beratur panjang serta kehabisan tiket.

"Pastikan bawa dokumen diri serta tambang secukupnya bagi melancarkan urusan pembelian tiket," katanya.

Orang ramai yang memilih membuat pembelian tiket melalui dalam talian boleh layari

www.tbsbts.com.my atau muat turun aplikasi TBS.

Artikel ini disiarkan pada : Jumaat, 11 November 2022 @ 2:52 PM