Raja Noraina Raja Rahim

Kuala Lumpur: Perkhidmatan Transit Aliran Ringan (LRT) Laluan Kelana Jaya yang digantung operasi akibat gangguan sistem kawalan tren automatik (ATC), dijangka akan beroperasi semula dalam masa terdekat.

Menteri Pengangkutan Datuk Seri Dr Wee Ka Siong berkata, hasil ujian dilakukan mendapati sistem isyarat dan komunikasi LRT dalam keadaan baik.

Menurutnya, beliau diberi taklimat mengenai pengujian ATC oleh pihak Rapid Rail yang dijalankan bermula pada 11 malam tadi hingga 5 pagi hari ini.

"Matlamat utama pengujian ini adalah untuk memastikan kestabilan dan keselamatan sistem sebelum meneruskan pengoperasian penuh.

"Pasukan terbabit menggerakkan 24 set tren di sepanjang laluan Putra Heights ke Gombak.

"Hari ini mereka akan menguji 38 set tren di sepanjang laluan dengan jarak lima minit antara setiap set tren," katanya dalam kenyataan.

Beliau berkata, berkemungkinan besar kesemua 38 hingga 40 tren laluan Kelana Jaya akan dapat kembali beroperasi tidak lama lagi.

Katanya, beliau berharap ada berita baik yang dapat diumumkan mengenai perkara itu esok.

PERKHIDMATAN LRT Laluan Kelana Jaya yang digantung operasi akibat gangguan ATC dijangka akan beroperasi semula dalam masa terdekat. FOTO BERNAMA
PERKHIDMATAN LRT Laluan Kelana Jaya yang digantung operasi akibat gangguan ATC dijangka akan beroperasi semula dalam masa terdekat. FOTO BERNAMA

Beliau akan terus memantau perkembangan itu meskipun terbabit kempen Pilihan Raya Umum ke-15 (PRU-15) di Parlimen Ayer Hitam.

Terdahulu, media melaporkan Rapid Rail Sdn Bhd (Rapid Rail) akan memastikan kestabilan dan keselamatan ATC sebelum membuat keputusan membuka LRT Laluan Kelana Jaya sepenuhnya lebih awal dari yang dijadualkan.

Presiden dan Ketua Pegawai Eksekutif Prasarana Malaysia Berhad Mohd Azharuddin Mat Sah dilaporkan berkata, pembukaan laluan LRT Kelana Jaya kepada orang ramai juga tertakluk kepada penilaian dan kelulusan Agensi Pengangkutan Awam Darat (APAD) sekiranya ujian yang dijalankan berjaya tanpa menunjukkan sebarang gangguan sistem.

Beliau turut dipetik berkata, pihak Rapid Rail sudah menjalankan beberapa ujian sistem dan pergerakan tren bagi menilai kestabilan.

Artikel ini disiarkan pada : Sabtu, 12 November 2022 @ 1:33 PM