Amir Abd Hamid


Petaling Jaya: Pengoperasian semula tren Transit Aliran Ringan (LRT) Laluan Kelana Jaya hanya akan diputuskan selepas proses pengujian penuh dilakukan esok.

Menteri Pengangkutan Datuk Seri Dr Wee Ka Siong berkata, ketika ini semua pakar termasuk wakil daripada pengilang asal (OEM) dari Thales Group Kanada sudah tiba bagi memantau pelaksanaan ujian berkenaan

Beliau berkata, jika keputusan ujian menampakkan hasil yang positif, pihaknya yakin operasi tren LRT akan dibenarkan beroperasi lebih awal daripada jangkaan sebelum ini iaitu pada 15 November depan.

"Esok akan dilakukan ujian penuh operasi tren membabitkan keseluruhan 37 stesen dan 24 set tren.

"Ujian ini akan dipantau oleh pakar dari Kanada dan tempatan termasuk daripada pihak Rapid Rail.

"Bagaimanapun, keputusan pengoperasian semula tren bergantung kepada kelulusan daripada Agensi Pengangkutan Awam Darat (APAD). Jika APAD luluskan, kita akan beroperasi lebih awal daripada jangkaan sebenar (15 November)," katanya.

Beliau berkata demikian pada sidang akhbar selepas menghadiri taklimat di dalam sidang media, di Kompleks Rapid Rail Subang, di sini, hari ini.

Hadir sama, Ketua Setiausaha Kementerian Pengangkutan, Datuk Isham Ishak; Presiden dan Ketua Pegawai Eksekutif Kumpulan Prasarana Malaysia Berhad (Prasarana) Mohd Azharuddin Mat Sah dan Ketua Pegawai Eksekutif Rapid Rail Sdn Bhd Amir Hamdan.

Rapid KL pada Rabu memaklumkan penggantungan operasi selama tujuh hari membabitkan 16 stesen LRT dari Stesen Kelana Jaya hingga Stesen Ampang Park.

Dalam kenyataannya, Rapid KL memaklumkan gangguan berkenaan berkaitan dengan komponen elektronik sistem kawalan tren automatik atau ATC yang menyebabkan kehilangan signal di antara pusat kawalan dan juga tren.

Berikutan itu, kira-kira 200,000 pengguna yang terjejas terpaksa beralih kepada mod pengangkutan lain untuk urusan harian menyebabkan aliran lalu lintas di ibu kota agak sesak pada waktu puncak.

Artikel ini disiarkan pada : Jumaat, 11 November 2022 @ 1:26 PM