ANGGOTA bomba memindahkan mangsa banjir di Kampung Johan Setia. FOTO ihsan bomba
ANGGOTA bomba memindahkan mangsa banjir di Kampung Johan Setia. FOTO ihsan bomba
Norzamira Che Noh


Klang: Seramai 30 mangsa dari lapan rumah di Kampung Johan Setia ditempatkan di pusat pemindahan sementara (PPS) Sekolah Kebangsaan (SK) Johan Setia selepas kediaman mereka dinaiki air susulan hujan lebat, petang tadi.

Pengarah Jabatan Bomba dan Penyelamat Malaysia (JBPM) Selangor, Norazam Khamis berkata, 30 mangsa terdiri daripada 10 kanak-kanak, 19 dewasa serta seorang wanita warga emas yang juga orang kurang upaya (OKU).

Katanya, pasukan menerima panggilan mengenai banjir jam 5.49 petang dan seramai 16 anggota dan pegawai bersama jentera dari Balai Bomba dan Penyelamat (BBP) Sungai Pinang dan BBP Andalas bergegas ke lokasi.

"Setakat ini, lapan rumah terjejas dan penghuninya dipindahkan ke PPS SK Johan Setia.

"Mangsa ialah 10 lelaki dewasa, 10 wanita termasuk warga emas OKU, tujuh kanak-kanak perempuan dan tiga kanak-kanak lelaki.

"Setakat ini pemindahan mangsa masih diteruskan dan kita akan memantau kawasan ini walaupun trend air menunjukkan penurunan," katanya dalam kenyataan hari ini.

Beliau berkata, pasukannya turut dibantu oleh Pasukan Bomba Sukarela (PBS) Johan Setia, Angkatan Pertahanan Awam (APM), polis dan lain-lain agensi.

Artikel ini disiarkan pada : Rabu, 9 November 2022 @ 10:45 PM