Omar Ahmad


Johor Bahru : Seorang penjaga stor dihadapkan ke Mahkamah Sesyen dan Majistret Johor Bharu di sini, hari ini, atas empat pertuduhan amang seksual fizikal dan cabul terhadap dua beradik perempuan Mei lalu.

Tertuduh, Ibnu Azim Azmi, 31, bagaimanapun mengaku tidak bersalah atas semua pertuduhan.

Mengikut kertas pertuduhan pertama, kedua dan ketiga, tertuduh didakwa melakukan perbuatan amang seksual fizikal terhadap seorang kanak-kanak perempuan berusia 14 tahun di sebuah rumah di Bandar Seri Alam, Pasir Gudang, pada 23 Mei lalu, kira-kira jam 10 malam.

TERTUDUH Ibnu Azim Azmi didakwa atas empat pertuduhan amang seksual dan cabul terhadap dua beradik perempuan di Mahkamah Sesyen dan Mahkamah Majisteret Johor Bahru. FOTO OMAR AHMAD
TERTUDUH Ibnu Azim Azmi didakwa atas empat pertuduhan amang seksual dan cabul terhadap dua beradik perempuan di Mahkamah Sesyen dan Mahkamah Majisteret Johor Bahru. FOTO OMAR AHMAD

Pertuduhan keatasnya dikemukakan mengikut Seksyen 14 (a) dan 14 (d) Akta Kesalahan- Kesalahan Seksual terhadap Kanak-kanak 2017 yang memperuntukkan penjara maksimum 20 tahun dan sebat, jika didapati bersalah.

Sementara itu, di Mahkamah Majistret, tertuduh juga mengaku tidak bersalah dihadapan Majistret Nurmadiana Mamat atas kesalahan melakukan cabul terhadap seorang wanita yang juga rakan sekerjanya.

Dia didakwa melakukan perbuatan itu di sebuah kedai serbaneka di Bandar Seri Alam, Pasir Gudang, kira-kira 10.15 malam, pada 25 Mei lalu.

Dia didakwa mengikut Seksyen 354 Kanun Keseksaan, memperuntukkan penjara maksimum 10 tahun, atau denda atau sebat atau mana-mana dua daripada hukuman itu, jika sabit kesalahan.

Pendakwaan dikendalikan, Timbalan Pendakwa Raya, Chan Choon Yew di Mahkamah Sesyen manakala Nor Maisarah Hassan di Mahkamah Majisteret.

Tertuduh diwakili peguam Mohammad Muzammil Mohammad Hairiri.

Mahkamah membenarkan tertuduh diikat jamin RM25,000 bagi kesemua pertuduhan dengan seorang penjamin warganegara.

Selain melaporkan diri ke balai polis terdekat setiap bulan, tertuduh perlu menyerahkan passport kepada mahkamah dan dilarang mengganggu mangsa serta keluarga mangsa sehingga kes selesai.

Kes disebut semula 12 Julai untuk pengurusan kes.

Artikel ini disiarkan pada : Rabu, 8 Jun 2022 @ 1:02 PM