BERNAMA

Georgetown: Kerajaan Persekutuan akan meneruskan projek pembesaran Lapangan Terbang Antarabangsa Pulau Pinang (LTAPP), selepas proses pengambilalih tanah dan peruntukan diluluskan.

Menteri Pengangkutan Datuk Seri Dr Wee Ka Siong berkata, kerajaan tidak pernah membatalkan projek itu sebaliknya telah mengadakan perbincangan dengan kerajaan negeri untuk menyelesaikan masalah tanah.

"Saya sendiri telah melakukan perbincangan dengan Ketua Menteri Pulau Pinang pada Ogos 2020 tetapi kita adalah sedikit masalah perlu diusahakan...banyak lagi perkara mengenai urusan tanah perlu dilakukan.

"Sebaik isu tanah selesai dan MAHB bersedia untuk bawa masuk dana, kita akan boleh mulakan projek," katanya kepada pemberita selepas mengadakan lawatan ke Bengkel Pendidikan Kemahiran Jahitan Kemas Pulau Pinang di sini hari ini.

Wee berkata demikian selepas ditanya mengenai kenyataan Pengerusi Jawatankuasa Infrastruktur dan Pengangkutan Pulau Pinang, Zairil Khir Johari bahawa Pulau Pinang akan terus diketepi oleh kerajaan di bawah Barisan Nasional (BN) dan Perikatan Nasional (PN).

Wee menjelaskan bahawa selepas lapan hari beliau menjadi Menteri Pengangkutan, negara terpaksa melaksanakan Perintah Kawal Pergerakan (PKP) dan Malaysia Airports Holdings Bhd (MAHB) tiada sebarang pendapatan.

Beliau berkata, peruntukan pembesaran untuk LTAPP telah diluluskan ketika pemerintahan BN dalam Belanjawan 2018 namun ketika Lim Guan Eng menjadi Menteri Kewangan, Lim tidak mahu menggunakan peruntukan itu, sebaliknya mahukan PFI (inisiatif kewangan swasta).

"Apabila sampai saya, macam mana nak persalahkan saya kerana pada ketika itu MAHB tiada pendapatan ketika PKP, kerana tidak boleh kutip Caj Perkhidmatan Penumpang (PSC) jadi kita kena tangguh sebab kemampuan kewangan MAHB tidak mengizinkan," katanya.

Wee berkata, projek pembesaran LTAPP akan diteruskan selepas proses urusan tanah dan MAHB dapat menyalurkan peruntukkan.

Selain itu, Wee yang juga Presiden MCA berkata, zaman Pakatan Harapan (PH) yang banyak batal projek negara dan bukan pemerintahan BN.

"Dia (PH) yang batalkan projek Kereta Api Berkelajuan Tinggi (HSR) Kuala Lumpur – Singapura dan projek Laluan Rel Pantai Timur (ECRL).

"Kita bertanggungjawab, kita tidak secara melulu menyerang mereka, tapi jangan anggap kita ini boleh persalahkan walaupun itu adalah kelalaian mereka sendiri," katanya.

Artikel ini disiarkan pada : Isnin, 7 November 2022 @ 8:15 PM