LAPANGAN Terbang Antarabangsa Pulau Pinang (LTAPP) Bayan Lepas. FOTO arkib NSTP
LAPANGAN Terbang Antarabangsa Pulau Pinang (LTAPP) Bayan Lepas. FOTO arkib NSTP
Zuhainy Zulkiffli


Georgetown: Kerajaan Pulau Pinang yakin Kerajaan Pusat akan meneruskan projek pembesaran Lapangan Terbang Antarabangsa Pulau Pinang (LTAPP) Bayan Lepas, di sini.

Ia sekali gus menolak dakwaan Kerajaan Pusat tidak mahu melaksanakan projek berkenaan.

Ketua Menteri Pulau Pinang Chow Kon Yeow, berkata, persetujuan itu sudah dimaklumkan dalam mesyuarat antara kerajaan negeri bersama Kementerian Pengangkutan dan Malaysia Airport Holdings Berhad (MAHB) sebelum ini.

CHOW Kon Yeow. FOTO arkib NSTP
CHOW Kon Yeow. FOTO arkib NSTP

Namun katanya, kerajaan negeri perlu menunggu hasil kajian Pelan Strategik Lapangan Terbang Kebangsaan (NASP) yang sedang dijalankan Kementerian Pengangkutan terlebih dahulu yang dijangka siap pada 2023.

"Jika mahu mengatakan Kerajaan Pusat tidak ingin meneruskan projek ini, saya tidak bersetuju, kerana dalam mesyuarat antara kerajaan negeri bersama Kerajaan Pusat dan MAB, mereka masih berminat bagi melaksanakan projek ini.

"Cuma kerajaan negeri memohon supaya kajian NASP itu mendahulukan wilayah utara supaya keputusan awal dapat diambil termasuk bagi projek pembesaran LTAPP," katanya pada sidang Dewan Undangan Negeri (Dun) di sini hari ini.

Terdahulu, Chow (PH-Padang Kota) menjawab soalan Goh Choon Aik (PKR-Bukit Tambun) berhubung punca utama Kerajaan Pusat tidak mahu meneruskan projek pembesaran LTAPP serta kuasa sebenar kerajaan negeri dalam projek itu.

Mengenai tanggungjawab dan peranan Kerajaan Negeri, Chow berkata, pihaknya akan membantu Kerajaan Pusat daripada segi pengambilan tanah dan penempatan semula penduduk sekiranya projek pembesaran LTAPP perlu diperluaskan.

Ia berikutan terdapat cadangan supaya pembesaran LTAPP diperluaskan bagi menampung sebanyak 16 juta penumpang setahun berbanding 12 juta setahun seperti dalam perancangan awal.

"Perkara itu mengambil kira kerancakan pembangunan di negeri ini yang mana kapasiti asal 12 juta penumpang setahun itu dapat dilepasi dengan mudah dan cepat.

"Sekiranya pembesaran LTAPP mahu mensasarkan kapasiti 16 juta penumpang setahun, maka ia akan membabitkan tanah di luar sempadan LTAPP sekarang termasuk sebuah sekolah cina, kuarters dan binaan tanah premilik serta milik kerajaan negeri," katanya.

Artikel ini disiarkan pada : Isnin, 19 Oktober 2020 @ 2:43 PM