ASYRAF Wajdi Dusuki (tengah) hadir ke pusat penamaan calon bagi Pilihan Raya Umum ke-15 (PRU) di Dewan Serbaguna Gerik, di sini. FOTO Muhammad Zulsyamini Sufian Suri
ASYRAF Wajdi Dusuki (tengah) hadir ke pusat penamaan calon bagi Pilihan Raya Umum ke-15 (PRU) di Dewan Serbaguna Gerik, di sini. FOTO Muhammad Zulsyamini Sufian Suri
Muhammad Zulsyamini Sufian Suri


Image

Gerik: Ketua Pemuda Umno Datuk Dr Asyraf Wajdi Dusuki sebak dan terharu apabila kehadirannya 'sebatang kara' sebagai calon luar di Parlimen Gerik akhirnya diterima akar umbi Barisan Nasional (BN) di kawasan itu.

Asyraf dicalonkan mewakili BN bagi kerusi Parlimen Gerik dalam Pilihan Raya Umum ke-15 (PRU-15) dan bakal ditentang Fathul Huzir Ayob (Perikatan Nasional) serta Ahmad Tarmizi Mohd Jam (Pakatan Harapan).

Menurutnya, pada mulanya dia berasa ragu-ragu untuk datang ke Gerik selepas pimpinan BN membuat keputusan berkenaan.

"Saya ragu apakah orang (Parlimen) Gerik boleh terima saya, tetapi saya lihat orang Gerik sejarahnya hebat. Terima kasih sudi terima saya sebagai keluarga besar BN Gerik walaupun saya datang sebatang kara.

"Saya akan serah dan wakafkan diri saya kepada BN Gerik. Walaupun kedudukan saya sebagai Ketua Pemuda Umno, untung nasib saya pada PRU-15 kali ini akan ditentukan oleh jentera BN Gerik kerana saya tidak akan panggil jentera dari luar.

"Saya berjanji mewakafkan sepenuh jiwa raga saya di Gerik, bukan hanya dengan balik ke sini (Gerik) sebulan sekali, bahkan saya berjanji sekurang-kurangnya seminggu sekali... saya mesti berada dengan rakyat Perak (Gerik)," katanya.

Terdahulu, Asyraf hadir ke pusat penamaan calon di Dewan Serbaguna Gerik, di sini, hari ini dengan berpakaian baju Melayu berwarna biru dan bersongkok.

Kehadiran beliau turut ditemani penyandang kerusi Dewan Undangan Negeri (Dun) yang berada di bawah Parlimen Gerik iaitu Dun Pengkalan Hulu, Datuk Aznel Ibrahim dan Dun Temengor, Salbiah Mohamed.

Aznel akan ditentang Mohd Saad Ismail dari Pakatan Harapan (PH) dan Amin Roslan dari Perikatan Nasional (PN), manakala Salbiah pula akan bersaing dengan Mohd Noor Abdul Rahman (PN) serta Dr Ahmad Safwan Mohamad (PH) bagi mempertahankan kerusi masing-masing.

Artikel ini disiarkan pada : Sabtu, 5 November 2022 @ 4:11 PM